Thursday, June 09, 2005

SEMILIR KASIH AINA…

:: Allahu Allahu Allahu ::

Sinaran terang lampu spotlight menusuk retina. Aina Mardhiah lantas memalingkan muka, membenar kanta mata membesar semula. Bingit dan sesak! Suasana resmi apabila tibanya Hari Konvokesyen. Menghidupkan suasana, album ‘Satu Perjuangan’ dendangan kumpulan nasyid Brothers dimainkan. Sayup-sayup alunan lagu Selamat Berjuang menerobos salur telinga Aina. Kenangan silam bersama rakan-rakan seperjuangan terukir semula di ingatannya. Namun, cepat-cepat dilenyapkan kerana ia nantinya bakal meruntun air mata. Namun, sukar baginya untuk melupakan segala rempah perjuangan itu. Ya, bukan mudah! Setiap kenangan punyai cerita dan sejarahnya sendiri yang amat berharga bagi Aina. “Assalamua’laikum Aina!”“Wa’alaikumsalam warahmatullah… Hai, Fizah! Kenapa Fizah lambat?”“Fizah sambut ayah dan ibu Fizah tadi. Sekarang ni, ayah dan ibu Fizah tengah rancak berbual dengan abah dan ummi Aina.” “Ye ke? Patutlah dari tadi abah dan ummi Aina tak duduk-duduk lagi.” “Biasalah… Sekali-sekala mereka berjumpa.” Perasmian yang dilaksanakan oleh Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa bin Mohamad menjadi acara pembuka Fiesta Konvokesyen 2003 untuk kali yang ke-33 ini. Sejurus kemudian, konsert ‘Dunia Baru Islam’ dimulakan. Fizah dan Aina begitu khusyuk menghayati irama nasyid Raihan, Rabbani, Hijjaz, In-team, dan juga UNIC. Sejak di bangku sekolah lagi mereka berdua sering disogokkan dengan lagu-lagu nasyid sebegitu. Aina dan Fizah sudah lama bersahabat, hampir menjangkau dua belas tahun lamanya. Cuma sekali mereka terpisah, semasa menuntut di matrikulasi. Kerana itu, mereka sudah masak dengan perangai masing-masing. Fizah menganggap Aina sebagai seorang rakan yang cukup setia dan petah berkata-kata. Nurul Hafizah pula merupakan seorang sahabat yang baik tetapi sedikit sensitif bagi Aina. Sifat sensitif Fizah dan kepetahan Aina adakalanya menyebabkan mereka sering bertengkar sewaktu di awal perhubungan dahulu. Namun kini, mereka semakin bijak mengawal perasaan dan matang dalam pergaulan.Sekiranya salah-seorang di antara mereka menghadapi masalah, yang seorang lagi sentiasa bersedia menghulurkan bantuan, nasihat dan dorongan. Sepanjang perhubungan, hanya satu resepi yang mereka amalkan iaitu suka berterus-terang dalam semua perkara... Tiba-tiba, sesuatu menerjah ingatan Aina. Lantaran itu, kalenjar adrenal pantas merembeskan hormon adrenalin ke seluruh bahagian tubuh. Aina resah-gelisah!!“Kenapa nampak susah hati je ni, Aina?”“Takde... Tiba-tiba je Aina teringat pasal ‘Yang Memerhati’ tu.”“Ooohh.., sebab tu ke Aina tak senang duduk?” Ketawa Fizah meletus. Menyerlahkan sikap periang penuntut Fakulti Pendidikan itu.“Fizah ni, Aina tengah takut Fizah ketawa pulak!” Aina merungut manja. Dalam pada itu, hatinya benar-benar berdebar. Jantungnya berdegup kencang.“Relaks la Aina… Fizah tahu Aina takut nak jumpa dia. Kalau Fizah jadi Aina pun Fizah gabra. Ditakdirkanlah Fizah yang kena… Hishh, terkulat-kulatlah Fizah dibuatnya!” Ketawa mengepung perbualan mereka. Dalam situasi begitupun, Fizah masih sempat berseloroh.* * * Rintik-rintik hujan membasahi bumi Bangi. Hujan turun tidak henti-henti sejak pukul 2.00 petang tadi. Akibatnya, mahasiswa-mahasiswa UKM tidak dapat turun ke padang untuk beriadah seperti biasa. Aina merenung buku ‘Pengurusan Kewangan’ yang terbuka di hadapannya. Sudah sejam dia menghadap buku itu, otaknya sudah tepu. Dia perlu berehat sebentar. Fikirannya menerawang jauh terkenangkan memori lama semasa menuntut di Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan (KMNS). Terlalu banyak pengalaman dan kenangan manis yang telah Aina alami sepanjang tempoh setahun di sana.Minggu Keusahawanan Pelajar sudah hampir ke penghujungnya. Malam terakhir itu, suasana agak meriah bagai pesta lagaknya. Sepuluh buah gerai hangat bersaing dengan cara dan gaya tersendiri. Bagaikan persaingan Amerika dengan sekutu-sekutunya bagi menguasai minyak di rantau Arab. The Greatest Corner menjadi tumpuan utama para pelanggan yang terdiri daripada pensyarah dan pelajar pelbagai jurusan. Aina Mardhiah yang memegang peranan sebagai ‘chef tidak bertauliah’ sejak gerai itu dibuka, semakin cekap dan pantas melaksanakan tugasnya.“Aina, burger tiga!” Haikal tahu kawan-kawannya sengaja memesan padanya supaya mereka tidak perlu menunggu lama. Haikal berharap agar Aina mendahulukan pesanannya. Mereka sama-sama mengendalikan gerai itu malah Haikallah ketuanya. Mungkin ada unsur retorik sedikit, tetapi apa salahnya...“Aina, burger dah siap ke belum?” Haikal pasti Aina terlupa kerana leka melayani pelanggan yang begitu ramai, sampai tak menang tangan dibuatnya. Kesian Aina!“Kejap ye Haikal...” Haikal cuma melontarkan senyum manisnya. Menampakkan barisan gigi yang tersusun rapi. Serentak itu, tangan Aina pantas mencapai tiga roti burger yang telah disalut dengan kulit popia dan memasukkannya ke dalam kuali. Setelah siap, Aina menghulurkan bungkusan plastik burger itu ke arah Haikal sambil mengiringi langkah Haikal dengan renungan tajam. Haikal lantas menoleh lantaran menyedari ada sinar mata yang memerhatikannya. Namun dilihat, Aina sedang sibuk meneruskan kerja-kerjanya. Haikal kemudiannya berlalu pergi dengan pelbagai persoalan. Bagaimanapun di sudut hatinya, Haikal tahu Aina berpura-pura sibuk.Bertitik-tolak daripada peristiwa itu, ‘hubungan’ Haikal dan Aina bermula. Masing-masing merasakan seperti ada sesuatu di antara mereka. Kebetulan pula, Haikal dan Aina memiliki banyak persamaan sejak mereka menjejakkan kaki ke KMNS. Mereka sekuliah, belajar di dalam satu kelas tutoran, bernaung di bawah satu kumpulan mentor, dan bergiat di dalam aktiviti ko-kurikulum yang sama. Justeru, Haikal dan Aina tidak dapat mengelak daripada selalu bertemu.“Aina, saya pilih awak untuk mengendalikan lawatan mentor-mentee ini 4 bulan dari sekarang. Kemungkinan kita akan pergi ke Langkawi pada Semester 2 nanti. Jadi selepas ini, awak boleh ke bilik saya untuk penerangan lanjut dan lakaran kertas kerja.” Arahan En. Hairi disambut dengan senyuman dan anggukan.Kendatipun Aina masih baru, En. Hairi tahu Aina berkebolehan. En. Hairi juga yakin Aina boleh menang sekaligus menyandang ahli Jawatankuasa Perwakilan Pelajar jika Aina masuk bertanding pada pilihanraya lepas. Tapi sayang, Aina enggan. Bila ditanya sebabnya, Aina mengatakan dia bukan sengaja mahu menolak tanggungjawab itu tetapi dia mahu menumpukan perhatian dalam pelajaran. Alasan itu sudah lali di telinga En. Hairi sejak dulu lagi. Ramai pelajar yang memberikan alasan seperti Aina. Namun, Aina bukanlah seperti Nicol Ann David yang boleh belajar dan berkarier dalam satu-satu masa, Aina punyai karisma dan caranya sendiri untuk mencapai kejayaan. En. Hairi akur dan berharap semoga pengobanan Aina itu berbaloi, tidak sia-sia.Perjalanan jauh ke Langkawi sememangnya memenatkan, namun tetap memberikan kegembiraan kepada anak-anak buah En. Hairi dan En. Razali. Lawatan riadah itu berjalan seperti yang dirancang. Para peserta lawatan diberikan kebebasan untuk keluar ke Pekan Kuah pada bila-bila masa jika tiada program lain. Peluang itu digunakan sepenuhnya oleh ahli rombongan untuk membeli-belah serta bersiar-siar di sekitar Pekan Kuah sehingga lewat malam. Setelah penat berjalan, mereka singgah mengambil angin dan menghirup udara segar di tepi pantai sebelum masuk ke bilik penginapan. Tiba hari yang paling ditunggu, rombongan itu dibawa menaiki kereta kabel terpanjang di Asia Tenggara yang baru siap dibina. Nampaknya lokasi itu amat menarik perhatian pelancong. Awal-awal pagi lagi pengunjung sudah memenuhi sekitar taman rekreasi itu. Di tengah-tengah keramaian pengunjung, kelihatan En. Hairi sibuk mengagihkan tiket kepada anak-anak buahnya. “Aina, someone look at you!” “Ade-ade ajelah awak ni, Su”“Betul..! Dah lama Su tengok dia perhatikan Aina.”“Siapa? En. Hairi?” Soal Aina, bergurau. Sambil itu, dia menyerahkan tiket Langkawi Cable Car kepada penyemak tiket di situ, diikuti oleh Suhaida.“Eh, eh, eh... Loyar buruk pulak dia. Siapa lagi kalau bukan Haikal, ketua tutoran Aina tu.” Mendengar nama itu, nafas Aina sesak. Hatinya berbunga riang, terasa dirinya seperti di awang-awangan. Namun, Aina cepat sedar... “Ye ke? Mungkin dia pandang orang lain kot, ataupun kebetulan je. Abaikanlah…” Aina cuba mengelak. Dia kemudiannya membuang pandangan ke luar kereta kabel, menikmati keindahan flora Langkawi ciptaan Allah s.w.t.Kalau boleh, Aina tidak mahu timbulnya khabar angin mengenai hubungannya dengan mana-mana lelaki. Sejak kecil lagi Aina telah diterap dengan didikan agama yang tinggi. Justeru pada usia semuda 9 tahun, Aina telah mengkhatam al-Quran dan boleh menghafal Juzuk 30, alhamdulillah. Namun, jika ilmu agama penuh di dada tetapi tidak diamalkan samalah seperti sebatang pohon besar yang tidak menghasilkan bunga mahupun buah. Aina masih ingat pesan umminya dan dia tidak mahu diibaratkan seperti itu. Oleh itu, Aina perlu sentiasa berhati-hati dan menjaga nama baiknya sendiri.Pulang dari Langkawi, mereka terus menyambut bulan Ramadhan. Setiap petang, para pelajar KMNS termasuk Aina dan Su pasti akan turun ke Bazar Ramadhan untuk membeli juadah berbuka puasa. Sudah genap 27 hari umat Islam menjalani ibadah puasa. Bermakna, mereka telah melangkah masuk ke gerbang ‘Malam Tujuh Likur’. Soru itu, Suhaida sengaja mengajak Aina, rakan sebiliknya turun awal ke Bazar Ramadhan. Mereka berjalan dari gerai ke gerai, memilih juadah yang menarik.Sedang mereka leka memilih kuih di gerai Staf Hamzah, kelihatan dari jauh Haikal dan rakannya, Badrul Hidayat menuju ke arah gerai itu. Akan tetapi, mereka tidak membeli apa-apa sebaliknya mereka hanya memerhatikan Aina dan Su. Selesai memilih, Suhaida menanyakan harga kuih-muih itu seraya mengeluarkan wang dari dompet Guccinya. Mereka kemudiannya bergerak ke gerai lain. Namun, Badrul dan Haikal tetap mengikuti langkah mereka. Aina dan Su kehairanan tetapi mereka cuba berlagak biasa.Entah mengapa, hari ini Haikal ingin sangat memerhatikan wajah Aina dari dekat. Memandang wajah ayu itu seakan memberikan ketenangan perasaan padanya. Tingkah santun Aina juga bisa mencairkan hati lelakinya. Halus budi-bahasa, ramah, lemah-lembut, dan yang paling penting, kuat pegangan agama. Haikal percaya Aina boleh menjadi seorang ibu, isteri, teman, dan kawan yang penyayang kerana Aina memiliki sifat-sifat seorang wanita sejati, wanita dalam erti kata sebenar. Ada kalanya, sikap Haikal agak pelik. Namun sebagai kawan, Badrul mengerti perasaan sahabatnya itu. Badrul bukanlah seperti Kuwait mahupun Turki yang langsung tidak memahami Iraq hingga sanggup membantu Amerika menghancurkan Iraq. Seboleh mungkin, Badrul mahu menolong Haikal kerana dia juga pernah mengalami situasi yang sama. "Haikal, aku tengok kau macam syok je dengan budak tutor kau tu," ujar Badrul sambil meletakkan bungkusan makanan yang baru dibeli tadi ke atas mejanya."Siapa?""Kau ni buat-buat tanya pulak. Ala...budak yang pakai tudung labuh tu.""Ooo.., kau maksudkan Aina?" Haikal hanya tersenyum."Ha'ah." "Sebenarnya..., aku memang minat kat dia. Tapi, macam mana kau boleh tau?" soal Haikal kehairanan. T-shirt Guess? hitam yang baru ditanggalkan dicampak ke dalam baldi."Hmm.., aku dah agak dah! Aku kan kawan kau. Tengok gaya kau je aku dah tau."Badrul puas menyuruh Haikal meluahkan rasa hatinya kepada Aina lantaran sudah lama Haikal memendam perasaannya itu. Bagaimanapun, Haikal enggan. Rasa malu mengatasi segala-gala. Bagi Haikal, Aina punyai prinsip agama yang teguh. Haikal bimbang Aina tidak menerima cintanya. Tambah pula, Haikal sememangnya agak kekok bergaul dengan perempuan semenjak di sekolah menengah agama lagi. Jadi, bagaimana dia mahu berterus-terang dengan Aina??“Aina, awak dapat 3.8 pointer. Tahniah!” Ucap Intan Hasyimah sebaik sahaja bertembung dengan Aina di depan Kooperasi Pelajar. “Alhamdulilah…Macam mana Syima tahu?” Soal Aina kepada rakan tutorannya itu.“Tadi masa Aina ke tandas, Cik Zaritha bagi tahu dalam kuliah. Hmm..., ni Cik Zaritha sampaikan surat tahniah dari Pengarah,” ujar Intan Hasyimah. Dia turut berbangga dengan kecemerlangan Aina yang akan mengharumkan nama tutoran mereka.“Terima kasih...” Gembira rasa hati Aina. Dia bersyukur kepada Allah.“Eeiii.., terror betullah Aina ni. Study last minute pun, result gempak jugak.”“Mungkin sekarang rezeki Aina kot. Lain kali, mana tahu giliran Syima pulak,” tutur Aina merendah diri. Kemudian, Aina meletakkan beg galas Splendournya di atas rak dan meminta Syima menunggunya memfotostat nota kuliah. Habis memfotostat, Aina dan Syima beriringan pulang ke kolej kediaman mereka yang terletak kira-kira dua ratus meter dari Pusat Pelajar itu tadi.“Aina, Syima cakap ni Aina jangan marah ye..” “Hmm...”“Syima rasa, Haikal minat kat Ainalah.” Aina Mardhiah memandang wajah Intan Hasyimah sekilas. Aina tahu, Syima juga ada menyimpan perasaan terhadap Haikal. Haikal memang ramai peminat. Dalam kuliah mereka sahaja, sampai dua tiga orang pelajar perempuan menyukai Haikal. Kata mereka, Haikal punyai perwatakan menarik dan senyuman manis.“Kenapa Syima cakap macam tu?” “Haikal banyak tanya pasal Aina masa Syima isi borang UPU di lap com dengan dia tadi. Dia tanya Aina apply universiti mana tapi Shima tak tahu. Emm.., Aina ingat tak masa kita bertembung dengan Haikal di tepi DSG lepas dapat result Semester 1? Masa tu, Haikal kan ada tunjuk result paper dia kat Aina. Tapi bila dia tanya result Aina pulak, Aina tak nak bagi tahu sebab Aina malu. Syima rasa..., Ainalah perempuan pertama dan terakhir yang tau result dia. Lagipun Syima tengok Haikal selalu berbual-bual dengan Aina padahal Haikal tu kan pendiam, lebih-lebih lagi kalau depan perempuan.”Aina merasakan luahan Intan Hasyimah itu berbau cemburu. Dibiarkan sahaja Intan Hasyimah berteka-teki sendiri. Dia tidak mahu perkara itu berlanjutan. Namun jauh di sudut hatinya, Aina mengakui kebenaran kata-kata Syima. Sememangnya Aina tidak mampu membalas setiap renungan dan senyuman Haikal tetapi Aina ada cara lain bagi memenangi hati Haikal, cuma Haikal sahaja yang tidak menyedari. Justeru, apa lagi yang boleh Aina lakukan? Hakikatnya, Haikal beruntung kerana Aina turut menyukainya dalam diam. Haikal memiliki segala ciri-ciri idaman Aina. Menarik, suka tersenyum, tenang, dan manja... Cuma satu, Aina memerlukan seseorang yang sentiasa boleh membimbingnya di jalan keredhaan Allah s.w.t. dan dia tidak pasti sama ada Haikal memiliki ciri itu atau tidak. Namun bagi Aina, sekalipun Haikal punyai pakej yang lengkap untuknya, ia tidak akan bermakna sekiranya Haikal tidak ‘membuka langkah’ terlebih dahulu. Dia tidak mahu dianggap seperti ‘perigi mencari timba’. Persoalannya, sampai bila keegoan akan menyelubungi hubungannya dengan Haikal? Aina tiada jawapannya.“Haa...Kak Aina. Termenung jauh nampak!” Ayuni menepuk bahu Aina. “Astaghfirullahal’azim…Ayuni ni, terkejut Kak Aina tau.”“Sorry la, Ayuni tak sengaja. Tak sangka pulak Kak Aina terkejut. Itu mesti tengah ingat ‘buah hati’, kan?”“Mana ada…” Aina menjeling manja. Ayuni Nor, pelajar tahun dua Ijazah Optometri itu hanya tersenyum sinis.“Tadi..., Ayuni terserempak dengan Abang Haikal dan Abang Khusyairi di depan Pusanika. Dia suruh sampaikan pada Kak Aina, mesyuarat MPP akan ditunda dari pukul 8.00 ke pukul 9.00 malam. Lagi satu, Abang Haikal suruh bawa proposal yang kena bentang malam ni” “Kalau macam tu, bolehlah Kak Aina tolong Kak Ummi handle usrah lepas maghrib nanti. Okay, thanks Ayuni.”Ayuni mengangguk cuma sambil memasang butang baju B.U.M.nya. Kemudian, Ayuni menyembur seluruh tubuhnya dengan minyak wangi Issey Miyake. Aina pula bingkas bangun dan mencapai tuala merah di ampaian menuju ke bilik air.“Perkara penting yang perlu kita tekankan melalui Majlis Perwakilan Pelajar semestinya mencakupi soal kebajikan penuntut dalam semua aspek. Justeru, kita tidak boleh memandang enteng isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional atau PTPTN ini. Atas alasan itu juga, saya berpendapat kita perlu segera mengatasi masalah kesukaran mendapatkan pinjaman untuk membiayai pengajian bagi sesetengah pelajar.” Tegas suara Khairul Nizam selaku Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar menjelaskan pendiriannya. “Bagaimanapun, pada semester lalu kita telah cuba memperjuangkan isu ini, tetapi kurang berjaya. Oleh itu, pada sesi ini kita memerlukan pendekatan lain yang lebih berkesan untuk menanganinya. Untuk itu, kita mahukan cadangan yang bernas daripada exco-exco yang hadir..,” sambung Mohd Haikal pula, mengharapkan strategi yang lebih baik. Sememangnya Haikal sudah jauh berubah! Tidak lagi seperti dulu, dia kini lebih matang dan berani. Dahulu, suaranya tidak pernah selantang ini walaupun dia turut terlibat dalam aktiviti kepimpinan.“Ya, saudari Aina Mardhiah! Ada apa-apa saranan untuk dikemukakan?” Tanya Khairul Nizam, bakal seorang peguam syariah.Bagai gelagat Bush selepas World Trade Centre diserang, Aina menggelabah mencari idea, menghindar diri dari ditempelak. Sebagai exco tertinggi, prestasi Aina pasti diperhati. Malulah dia kalau tidak dapat memberi cadangan yang berimpak!Jarum pendek jam Roscani di tangan kiri Aina sudah mencecah ke angka dua belas. Mentari semakin meninggi, terpacak di atas kepala. Aina tidak sedar masa begitu pantas berlalu. Perhimpunan Aman Malaysia yang disertai lebih 50,000 rakyat Malaysia daripada segenap lapisan masyarakat baru sahaja tamat. Perhimpunan di Stadium Bukit Jalil itu diharap dapat melumpuhkan semangat tentera bersekutu AS, Britain, dan Australia daripada terus membedil bumi Iraq. Semoga ia juga dapat membuka mata dunia betapa kejamnya AS dan sekutu-sekutunya malah betapa lemahnya PBB dalam memelihara keamanan dunia.“Macam mana ni Kak Ummi? Pukul 1.20 nanti Aina ada tutorial tambahan. Sempat ke kita sampai kolej?”“Bertenang Aina... Kalau bas lambat sangat, kita naik teksi aje.” Ummi Thuwaibah berusaha menenangkan Aina. Dia pun tidak suka menunggu lama di situ, membuang masa.Tiba-tiba, sebuah Proton Waja dicat biru metalik, berhenti betul-betul di hadapan mereka.“Assalamua’laikum.”“Wa’alaikumsalam warahmatullah...”“Kak Ummi dan Aina nak balik ke kolej ke?” Soal Khusyairi seraya menurunkan cermin kereta. Aina dan Ummi mengangguk serentak.“Kalau macam tu, kami boleh hantarkan sebab kami pun nak balik Kolej Rahim Kajai ni. Lagipun, bas mesti penuh hari ni.” Haikal mempelawa mesra.Dua orang mahasiswa Fakulti Pengurusan Perniagaan, seangkatan dengan Aina. Mereka memang murah hati terutamanya Haikal. Aina memang tidak menyangka akan bertemunya kembali di universiti. Mungkin inilah yang dikatakan jodoh ketentuan tuhan. Namun, Haikal bukan kepunyaanya. Bukan miliknya...lagi. Hati Haikal telah ditawan insan lain.Aina terasa pehanya seperti dikuis. Dia menoleh.“Haikal tengah bercakap dengan Aina tu,” maklum Ummi Thuwaibah.“Bagus cadangan Aina tentang isu PTPTN malam tadi. Haikal rasa usaha kita kali ni takkan sia-sia, Insya Allah.”“Kalau usaha kita ni berhasil, syukurlah… Aina cuma mencuba aje.”“Nampak gaya, Aina ni ada talent jadi Dr. Zeti Akhtar Azizlah.”Mendengar kata-kata Haikal itu, serebrum Aina pantas mena’akul pemikiran. Bukan mudah untuk menjadi pemimpin berkaliber yang disegani ramai. Untuk mengekalkan prestasi sebagai exco tertinggi di kalangan 34 exco MPP pun sudah cukup mencabar bagi Aina. Pengalaman? Boleh tahan. Aina pernah diberi peluang memimpin sebuah Badan Dakwah dan Kerohanian dan beberapa buah persatuan akademik sewaktu di sekolah menengah dulu. Dari situ, sedikit-sebanyak Aina tahu bagaimana caranya mahu mengendalikan sesebuah organisasi, dan mungkin nanti sebuah syarikat pula. Kendatipun begitu, Aina mengakui ilmu kepemimpinannya masih setampuk pinang.“Piiinn, piiinn…!!!” Pemandu Daihatsu Ascend di belakang mereka memberi isyarat.“Kenapa kereta ni Haikal?” Khusayairi cuak! Ummi dan Aina turut cemas!! Haikal yang sedang memandu, kebingungan. Kereta terhenjut-henjut. Tanpa dikawal, gerak kereta beransur perlahan..., dan akhirnya terhenti sendiri di bahu jalan.Petang itu Aina tidak jadi ke tutorial. Setelah kereta Haikal dihantar ke bengkel, mereka terus pulang dengan teksi. Namun sehingga menjejakkan kaki ke Kolej Dato’ Onn, fikiran Aina masih tidak lekang dari mengingati butir-butir perbualannya dengan Haikal di Masjid Jamek zohor tadi. Kenapa baru sekarang Haikal begitu hampir dengannya? Semenjak melangkah ke UKM, cuma beberapa kali Aina berurusan dengan Haikal. Itupun kerana mereka sefakulti dan sama-sama 'bermain' di dalam gelanggang MPP. Namun, tahun akhir ini menyaksikan keintiman perhubungan mereka. Apakah masih ada ruang untuknya...?Suasana Kafe Dino hingar-bingar dengan suara siswa-siswi yang sedang enak menikmati minum petang. Kelihatan dua orang siswi rancak berbual di suatu sudut, tanpa makanan dan minuman. Mungkin barisan pengunjung kafe yang terlalu panjang membantutkan selera mereka. Dari jauh, jelas terpancar raut wajah mereka yang agak tegang.“Haikal kan dah bertunang. So, tak manislah kalau Aina rapat dengan dia.” Kata-kata Maisurah itu terasa bagai sembilu menusuk kalbu Aina. “Tapi Kak Syurah.., Aina rapat dengan dia hanya kerana tugas dan tanggungjawab!” Pandangan Penuntut tahun akhir jurusan Kejuruteraan Biokimia itu tepat menikam anak mata Aina. Aina segera menukar pandangan. Serba-salah. “Aina, akak tahu tu. Tapi, Aina mesti paham… Hubungan Airin dengan Haikal tengah dingin sekarang. Takkan kita nak biarkan hubungan mereka bertambah teruk, kan?” Jelas Siti Maisurah begitu mengambil berat perihal adik bongsunya, Siti Adriana.Aina tegar. Siti Adriana memang bertuah memiliki Haikal. Begitupun, tak pernah terlintas langsung di hati Aina untuk merampas tunangannya itu. Aina tersepit oleh situasi! Namun, dia tidak akan membiarkan dirinya menjadi salah-satu faktor penggugat ikatan mereka. Aina ada maruah! Jangan sampai namanya dicanang-canang. Aina menyudahkan siraman terakhir. Ligat tangannya mengelap tubuh, menyarung maxi Bianca, lantas menerpa ke arah Fizah. Ayuni Nor yang sedang membasuh, tersenyum melihat gelagat Aina.“Betul ke apa yang Fizah cakap ni?”“Iye… Kak Syurah yang bagi tahu Fizah lepas jamuan perpisahan Prof. Rasyidi tadi.”“Tak sangka kan, Fizah? Dah hampir 2 tahun diorang bertunang. Fizah rasa, Haikal dan Airin putus tunang sebab Aina ke?”“Ishh.., tak lah! Fizah dengar orang kata, keluarga Airin memang dah lama nak putuskan pertunangan cuma mereka tunggu masa yang sesuai je. Mak bapak Airin sebenarnya dah ada pilihan sendiri…”“Ooo.., kisahnya... Itulah kehendak Allah, kan? Tak siapa yang tahu.” “Ha’ah, betul tu! Aina tak usahlah risaukan kata orang. Kalau kita berada di tempat yang benar, Allah akan tolong kita. Kita tawakkal ajelah. Hmm…dah tu Aina, bagi Fizah mandi pulak!”Kesian Haikal, sudah jatuh ditimpa tangga pula. Semenjak Siti Maisurah bersua dengan Aina beberapa minggu lalu, persahabatan Aina dengan Haikal yang sehangat gunung berapi itu menjadi dingin. Tidak meletup dan tidak memuntahkan larva tetapi tiba-tiba sahaja membeku! Kendatipun ia tidak sedingin Kutub Utara mahupun Kutub Selatan, namun tetap membuatkan Aina menggigil. Aina pasrah! “Hai… Assalamua’laikum cik Aina! Struggle nampak?”Aina mengangkat kepala. Ah, Shahrul Hisyam rupanya! Dua orang siswi yang semeja dengan Aina turut menoleh. Maklumlah.., Perpustakaan Tun Sri Lanang ketika itu agak lengang dan sunyi. “Nah! Ada orang suruh bagi kau surat ni.”“Terima kasih.”“Sama-sama...” Shahrul membalas sambil tersengih dan berlalu pergi. Aina sebenarnya sekuliah dengan Shahrul, tetapi mereka jarang bertegur sapa kerana sikap Shahrul yang gila-gila dan suka mengusik sering membuatkan Aina rasa tidak selesa berkawan dengannya. Lagipun Shahrul cukup terkenal dengan sikap kasanova, menambah kedengkelan Aina terhadapnya. “...Lirik senyummu manis sekaliGerak langkahmu memikat hatiPeri lembutmu memukau diriBaru kini aku menyedariIa sekuntum mawar berduriYang semestinya daku miliki…”“Haa.., Fizah dah agak dah. Lelaki yang suka pada Aina mesti sebab perangai Aina yang lemah-lembut ni, macam ‘perempuan melayu terakhir’...” Fizah membuat kesimpulan sendiri seraya melabuhkan punggung ke atas bangku di Taman Nusantara, sejurus selepas mereka melangkah keluar dari perpustakaan.“Kenapa Fizah kata macam tu?”“Laa.., Fizah ingat lagi Hafizi dan Idhar. Diorang cakap diorang minat Aina sebab Aina lembut. Cuma bezanya Fizi tu karang esei, Idhar main kata-kata, ‘Yang Memerhati’ ni pulak cipta sajak!”Aina tersipu mendengar kata-kata Fizah. Dari saat itu, Aina sering menerima surat-surat misteri daripada ‘Yang Memerhati’. Boleh dikatakan hampir setiap minggu Aina menatap surat baru. Kadang-kala Aina dihadiahi buku-buku ilmiah. Yang paling Aina gemari, ‘Muslimah Cemerlang’ hasil karya Dr. Fazilah Kamsah, tokoh motivasi yang paling dikaguminya. Aina mengakui, sememangnya penantian benar-benar satu penyeksaan. Hatinya sering tertanya-tanya. Nalurinya sentiasa melonjak-lonjak ingin tahu siapakah pengirim misteri itu, yang Aina fikir agak warak. Keadaan ini berterusan sehinggalah tibanya 15 November, seminggu sebelum berlangsungnya Hari Konvokesyen yang juga hari lahir Aina ke-23 tahun.“Wow, cantiknya!!” Semua mata tertumpu ke arah Ayuni Nor. Tertarik!“Jubah mini warna peach. Siap dengan selendang Wardina lagi. Cayalah! Macam tahu-tahu je citarasa Aina.” Ayuni menjerit girang, tumpang gembira.“Sshhh… Korang ni kecohlah! Dah pukul satu pagi ni, nanti budak bilik sebelah temper pulak!” Nurul Hafizah menegur. Perlahan. Tidak semena-mena, sepucuk warkah biru jatuh dari lipatan selendang di tangan Ayuni. Cepat-cepat Aina mencapainya. Sah!! Daripada ‘Yang Memerhati’.* * * Aina dan Fizah melangkah pantas, menyusup di celah-celah ribuan penonton yang berpusu-pusu pulang. Gundah hati Aina kian terasa. Gementar untuk bertemu insan misteri yang selalu sahaja meninggalkan seribu satu soalan di benaknya. Setibanya di pintu besar Dewan Anuwar Mahmud, kaki Aina dan Fizah berhenti menapak. Meninjau-ninjau kelibat seseorang, ‘Yang Memerhati’. Ah, mungkin itulah dia! Aina meneka. Seperti yang digambarkan melalui warkah biru, berkot pumpkin serta berkopiah Raihan. Tepat! Namun, Aina lekas menyedari sesuatu. Benarkah apa yang dilihatnya?? Sekonyong-konyong, lelaki itu berpaling ke arah mereka. Aina terkesima. Ya Allah, terlalu agung kuasamu! Sungguh, memang Aina tidak menyangka Haikal begitu banyak menyimpan rahsia dirinya…“Ya, Aina... Haikallah orang yang Aina cari-cari tu.” ujar Mohd Haikal, tersenyum penuh makna. Mungkin menyedari kegugupan Aina. Nurul Hafizah yang setia berdiri di sisi Aina turut tersenyum lebar. “Tahniah atas kejayaan Aina..!” Tambah Mohd Haikal sambil mengerling gulungan ijazah di tangan Aina.“Terima kasih. Haikal pun sama, tahniah! Err.., sebenarnya kenapa Haikal nak jumpa Aina ni?” Memahami isi surat, Aina Mardhiah tahu Haikal ada menyimpan tujuan lain.Haikal membetulkan jubah biru tua di lengannya. Dia bingung. Tidak tahu mahu memulakan dari mana.“Mmm…, sebelum Haikal cakap ni, Haikal mintak maaf kalau Aina rasa Haikal terlalu berterus-terang dan terburu-buru.” Ada getar di hujung suaranya. “It’s okay..” Perasaan Aina sudah semakin reda. Tenang.“Sebenarnya.., Haikal dah lama sukakan Aina, semenjak kita study di matrikulasi lagi. Sekarang, Haikal dah bersedia nak melamar Aina. Itupun kalau Aina sudi…” Laksana wanita Afghanistan yang diisytihar bebas daripada kemelut Thaliban, Aina terkelu. Mindanya keliru. Aina seperti tidak percaya. Haikal sungguh berani! Lancar nian bait-bait kalimah yang meluncur keluar dari mulut Haikal. Namun di sebalik itu, Aina begitu yakin Haikal punyai masa yang lebih dari cukup serta alasan yang kuat untuk memutuskan natijah itu. Sesungguhnya, lamaran Haikal itu telah meletakkan Aina di suatu tempat yang Aina sendiri susah untuk gambarkannya. Gembira, terharu, tenang, bahagia, dan bermacam-macam lagi perasaan yang membuahkan benih-benih kesyukuran. Tanpa sedar, Fizah menggenggam erat tangan Aina. Perlahan-lahan air mata Aina gugur ke bumi. Ya Allah, terima kasih di atas i’nayah-Mu..... Kasih, kusedari kekurangan diriKasih, kuinsafi kelemahan diriKuingin sunting dirimu menjadi permaisuri hatikuSebagai isteri yang berbudiKebanggaan para suamiWanita hiasan duniaSeindah hiasan adalah wanita solehahYang akan membahagiakan syurga di dalam rumahtanggaHanya itu yang kuinginkan dari insan yang amat kusayangDamaikanlah resah hatikuAku rindu kasih dan sayangmuTerimalah seadanyaAkulah hiasan pelamin hidupmu.....


~||dalam diri itu ada atma.dalam atma itulah jiwamu yg luhur.justeru perkuatkanlah akan ia dengan ilmu dan perkemaskanlah ia dengan iman||~

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

-------------------------------------------



wat bahase do u speak??
Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.comGet awesome blog templates like this one from BlogSkins.com

MyNetwork
[:: ] hudasoid [:: ] GoPi [:: ] moHnas [:: ] niSah harOn [:: ] zaid Akhtar [:: ] feeeSal teHrani [:: ] Helvy tIana RoSa [:: ] LukiSan malaM [:: ] adeeb [:: ] ghuroba [:: ] MukhriZ [:: ] wanZu [:: ] mueeZ [:: ] Azzahra SafiaH [:: ] widad [:: ] aShersiMakhlukGergasi [:: ] SanaYemen [:: ] adielaRahmad [:: ] eRmyAhmaD [:: ] syahidah [:: ] sYafixa [:: ] 9_tail_kid [:: ] My Bloody Arsenal [:: ] ex-KI 2000 [:: ] aDnin [oO ] raihanah

Name:
Location: bagan daTuk, PheRak, Malaysia

Not Much knOW buT my Self..myBe anyone of U can Describe me???