MAWAR FIRDAUS
~dalam diri itu ada atma.dalam atma itulah jiwamu yg luhur.justeru perkuatkanlah akan ia dengan ilmu dan perkemaskanlah ia dengan iman~ [seBenaRdiRi]
MAWAR FIRDAUS
Puas sudah membaca namun mata masih terasa segar. Entah berapa banyak buku sudah ku khatamkan, dari buku motivasi, ke buku haraki hinggalah hadis 40 karangan Imam Nawawi. Selonggok majalah Muslimah dan Al-Islam pun telah habis ku belek dari kulit ke kulit. Keseronokan membaca bertukar menjadi kebosanan yang memualkan. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk cuba melelapkan mata. Ku rebahkan diri ke katil sambil menikmati lagu nasyid dari pemain MP3 komputer yang ditinggalkan terpasang oleh adik-adik yang sudah terkapar keletihan.
Kasihan melihat mereka terkulai di antara longgokan buku dan kertas nota yang bersepahan. Teringat saat-saat ketika masih bergelar mahasiswa dulu, suasana begini memang menjadi lumrah setibanya musim peperiksaan semester. Mahu tidak mahu, tradisi ini sudah mengurat saraf dalam hidup seorang mahasiswa. Kelunakan melodi nasyid yang beralun perlahan membuat aku terbuai seketika, damai menyusup ke kalbu. Ku lirik jam meja di sudut bilik, malam sudah merangkak ke pagi tapi nampaknya mata ini masih liat benar untuk terpejam. Sesal juga rasanya bila teringat siang tadi tidur hingga ke lewat Asar.
Alunan lagu Impian Kasih nyanyian Kumpulan In-team tiba-tiba menyentak gegendang telingaku. “Ishh..lagu ni pulak!” Sebal menerpa perasaanku melenyapkan serta-merta damai yang bertamu seketika. Ahh.. aku benci lagu ini! Tidak..ingatan itu terlalu kuat, ia berpintal lagi dalam mindaku yang sedia kusut. Ku pekup telingaku, ku sembamkan muka ke bantal, aku mahu lari jauh-jauh dari nama itu, wajah itu. Ya Tuhanku tolong aku Ya Allah!
“Ana harap ukhti dapat menerima hakikat ini dengan hati yang tenang dan redha, ana bukan menafikan anti, tapi ana tidak dapat menolak kehadirannya dalam hidup ana. Dia mahu ana membimbingnya untuk mengenali Islam.”
Ringan kepala ini aku rasakan saat aku baca bait-bait ayat dalam emelnya yang terakhir. Terasa gelap pandangan ku seketika. Dia yang kukenali lebih setahun, dia yang kuletakkan seluruh pengharapan dan impian akhirnya terpaksa aku lepaskan. Impian membina sebuah baitul-muslim yang dihiasi mawaddah dan rahmah bersama insan yang sama-sama mendokongi perjuangan berkecai punah.
Bukan tidak ada sahabat muslimin lain yang cuba mendekati tapi Naufal begitu istimewa di mataku, di hatiku. Dialah lelaki yang memenuhi segala keinginan ayah dan ibu yang terlalu cerewet tentang jodoh anak bongsu mereka ini. Dan yang paling penting, dialah satu-satunya sahabat yang paling memahami waqi’ dan tuntutan perjuangan di daerah kelahiran sendiri.
“Sesungguhnya dia lebih utama, janganlah sia-siakan dia. Didiklah dia bukan sahaja menjadi muslimah yang solehah tapi juga seorang mujahidah yang bertaqwa. Tiada kesal di hati ana, yang ada hanyalah mahabbah yang tetap subur, yang lahir dari ukhuwwah fillah. Kita tetap sahabat, sesungguhnya ukhuwwah fillah abadan abada..”
Tatkala aku ucapkan kalimat itu, air mata ku mengalir laju. Kecewa dan redha bersilih ganti mengisi ruang dada. Namun tarbiyah dari madrasah Ramadhan yang baru beberapa hari berlalu memberikan sedikit kekuatan untuk aku mengawal perasaan yang berkecamuk. “Kalau kau mengharapkan cinta makhluk, ianya tak akan kekal. Tapi andai kau mendambakan cinta Khaliq sesungguhnya Dia tak pernah mengecewakan kau! Jadilah muslimah yang sabar Sakinah!” Aku memujuk diri dalam kepayahan.
Aku tidak pernah bertanya bagaimana Naufal boleh berkenalan dengan gadis Kristian itu, walaupun ada sekali dia menyebutkan. Aku tidak punya masa untuk cemburu, perjuangan di kampus menuntut pengorbanan dalam segala hal dan hal-hal peribadi yang kurang penting harus di kesampingkan. Lagipun kami bukan seperti pasangan muda-mudi yang lain, hubungan ini kami landaskan atas nama perjuangan yang matlamatnya adalah mardhatillah.
Kami tidak pernah bertemu melainkan di bilik mesyuarat, liqa’-liqa’ mahasiswa atau semasa tamrin. Tidak pernah meniti di bibir perbicaraan soal hati sebaliknya hanya isu-isu politik kampus semasa dan masalah-masalah dalam jama’ah yang menjadi bualan utama. Sekali-sekala bertukar khabar keluarga dari kampung atau perkembangan akademik masing-masing.
Siapa kata tidak ingin menjadi seperti pasangan bercinta yang lain? Walaupun sama-sama bergelar pimpinan yang zahirnya tegas dan lantang di mata umum, jauh di sudut hati sesekali terdetik kerinduan untuk mendengar ungkapan sayang. Tapi aku percaya bahawa cinta tidak semestinya perlu dilafazkan. Aku sudah cukup bahagia melihat orang yang aku sayangi lebih mengutamakan perjuangan lebih dari segala-galanya.
Namun, kesabaran hati seorang insan bergelar muslimah kali ini benar-benar teruji. Seorang muslimah yang dulunya dianggap muslimah berhati cekal di pentas perjuangan mahasiswa kini akhirnya tewas tersungkur jua. Tewas pada ujian cinta. Ya, aku kecewa kerana dikecewakan tapi tidaklah seperit kecewa kerana kalah pada ujian. Aku malu pada Allah.
Selama ini aku selalu menegaskan dalam ucapan-ucapanku, letakkanlah Allah sebagai yang teratas di dalam hati, tapi sayang, sedikit ujian cinta sudah membuktikan aku sebenarnya masih belum cukup menghayati apa yang aku katakan. Cinta agung yang aku angankan belum mampu aku hidup suburkan dalam jiwa dan roh ku. Kekecewaan ini hampir-hampir saja mematikan semangat juangku, saban waktu air mata menjadi peneman setia. Ahh..Jangan bazirkan air matamu hanya kerana seorang lelaki Sakinah! Air mata keinsafan itu lebih mahal harganya daripada ratapan kerana kehilangan seorang lelaki.
Lantaran luka dan kecewa ini, ku seret langkah ke sini, ke medan juangku dulu dengan harapan aku dapat menjejak semula Sakinah yang aku kenali dulu. Kehadiranku disambut mesra oleh sahabat-sahabat seperjuangan yang lama aku tinggalkan. Kisah-kisah perjuangan hidup kampus yang hampir setahun aku tinggalkan sedikit-sebanyak menghapus luka di hati. Layanan penuh hormat adik-adik yang pernah bernaung di bawah tarbiyah ku satu ketika dulu membajai semula semangat juangku yang kian malap dihakis arus mehnah di medan kehidupan yang sebenar. Kehidupan yang dihiasi gemerlap keseronokan dunia fatamorgana dan syaitan yang sentiasa mengambil kesempatan di atas kelalaian anak Adam.
Betapa mehnah yang sedikit telah melalaikanku! Aku tidak menyalahkan Naufal di atas keputusannya, juga tidak kesal dengan perkenalan kami. Medan perjuangan menemukan kami dan perpisahan ini tidak akan menghapuskan ukhuwwah yang terbina selama ini. Dia pejuang gigih yang aku kagumi, walaupun tidak lagi bertemu setelah aku meninggalkan dunia kampus.
Aku menamatkan pengajian lebih dulu daripada Naufal kerana dia mengambil keputusan untuk menyambung satu semester lagi atas kepentingan jama’ah. Lantaran itu kami terpisah. Walaupun Laut China Selatan jadi pemisah, warkah-warkah emelnya sering menemaniku. Sesekala kami berbicara lewat telefon. Aku tidak bersetuju sekiranya dia terlalu kerap menelefon, aku sedar kedudukannya sebagai pimpinan menuntut keperibadian yang terhindar dari segala fitnah.
Aku berpegang pada prinsip bahawa keperibadian seorang pemimpin akan tercermin pada akhlak pengikutnya, justeru itu aku terlalu menitik beratkan hal-hal yang sebegitu. Aku tidak mahu kerana aku, tumpuannya pada gerakerja jama’ah terabai apatah lagi menimbulkan fitnah pada jama’ah.
Aku amat menyedari kelemahan seorang lelaki, betapa kerasnya lelaki pasti layu pada pujukan wanita. Berapa banyak pemimpin dunia yang tersungkur kerana tipu daya seorang wanita? Julius Caesar? Napoleon Bonaparte? Bill Clinton? Berapa ramai juga bekas pimpinan mahasiswa yang dulu berdegar-degar di pentas mahasiswa setelah berumahtangga menjadi lesu kerana di uji dengan isteri yang tidak mahu memahami. Aku tidak mahu menjadi wanita yang menjadi racun, sebaliknya aku mahu jadi wanita penyemarak perjuangan sebagaimana Khadijah dan Fatimah yang menjadi idolaku.
Ahh..Aku buang ingatan pada Naufal jauh-jauh. Aku tidak mahu perasaan menguasai diriku. Aku tahu Allah memberikan yang terbaik untukku walaupun pahit untuk ditanggung. Kasih sayangNya selama ini tak dapat aku nafikan, kenapa harus aku mengeluh pada kali ini? Bukan jodohku. Aku akui, sebal juga bila adik-adik asyik bertanya bila lagi mahu menamatkan zaman solo. Apatah lagi sahabat seangkatan sudah ramai yang bergelar suami mahupun isteri. Mungkin Allah mahu berikan aku yang lebih baik, atau juga aku sebenarnya yang masih belum layak untuk menjadi isteri pada seorang mujahid seterusnya menjadi ibu kepada bakal para syuhada’ seperti yang aku impikan selama ini.
Mungkin aku belum melulusi ujian di madrasah tarbiyah yang Allah sediakan untukku. Tanggungjwab melahirkan dan mendidik anak-anak untuk menjadi jundi-jundi yang soleh mahupun solehah bukanlah tanggungjawab yang mudah. Mahukan anak-anak semulia dan setaqwa Hasan dan Husin perlukan seorang ayah dan ibu sehebat Ali dan Fatimah. Aku belum layak untuk itu, malah jauh sekali dari layak.
Brek mengejut menyentak aku dari tidur. “Kenapa pulak ni?” Aku menggumam kesal, mata baru saja terlelap. Ku intai suasana di luar di sebalik cermin gelap bas. “Teruknya jam!” Aku mengeluh perlahan. Kenderaan berderet panjang, semua saling himpit-menghimpit. Papan tanda menunjukkan aku kini berada di kawasan Kerinchi. Melihat Kerinchi Link lantas mengingatkan aku pengalaman pertama menyertai demonstrasi. Isu hangat Kerinchi Link dan Masjid Ar-Rahman membawa aku menjejak kaki ke Universiti Malaya buat pertama kali. Ketika itu aku masih mentah, baru belajar untuk berjinak-jinak dengan perjuangan di kampus.
Aku masih ingat, ketika itu UM yang sentiasa panas dengan suara-suara lantang mahasiswa bergolak sekali lagi apabila warga kampusnya menentang pembinaan laluan LRT yang merentasi institusi ilmu itu. Kemarahan para mahasiswa Islam memuncak apabila Masjid Ar-Rahman dilanda banjir lumpur akibat daripada pembinaan tersebut. Sebagai akibatnya, UM menjadi medan demonstrasi secara aman sekali lagi. Mahasiswa dan mahasiswi dari seluruh pelusuk IPT membanjiri UM dengan semangat dan matlamat yang satu. Slogan selamatkan Ar-Rahman dan laungan takbir bergema menggegarkan universiti di tengah bandar itu. Ahh..orang kata mahasiswa berdarah muda, selalu mengikut rasa. Semangat setinggi langit tapi tidak praktikal. Benarkah? Tapi bukankah ramai pemimpin negara juga mulanya di sini, medan yang kini mereka gelarkan demonstrasi jalanan?
Setelah itu kunjungan demi kunjungan ke UM menyusul atas urusan rasmi persatuan mahasiswa. Sebagai perintis di IPT sendiri, kami menagih ilmu dan pengalaman daripada sahabat-sahabat yang lebih dulu mengorak langkah, yang sudah matang dengan selok-belok percaturan politik kampus, masak dengan kerenah pentabiran yang semacam alah dengan pergerakan berunsur Islam malah sudah lali diutusi warkah cinta dari Bukit Aman.
Di UM langkah perjuanganku bermula, di UM juga cinta pertamaku terpahat. Ah, manisnya ketika itu! Hati mana tidak berbunga-bunga bila mendapat perhatian dari insan yang menjadi sebutan para muslimat. Berbanding dengan muslimat yang lain tiada istimewanya aku. Perkenalan tanpa dirancang, mungkin inilah yang dinamakan takdir.
“Ada perjumpaan MIS di masjid UKM sabtu depan, call Isya malam nanti okay!” Aisyah membisikkan padaku ketika kami berpapasan di tangga bersebelahan dengan Pejabat Majlis Perwakilan Pelajar di Dataran Perdana Siswa itu. Aku mengangguk tanda faham. Aisyah baru sebulan aku kenali tetapi keakraban kami seperti sudah bertahun mengenali. Maklumlah sama-sama merantau di negeri orang, cepat sahaja terasa mesra.
“Ana dengar ada orang baru, sekampung dengan ana pulak tu. Siapa ya?” Pemuda berkopiah putih itu mengangkat pandangan ke arah bahagian muslimat sambil tersenyum. “Presiden tanya tu, cepatlah!” Aisyah yang duduk bersila di belakangku menolak bahuku, hampir aku tersungkur ke lantai. “Ishh..!” Aku menepis tangannya yang gatal mencuit pinggangku. “Ana”, jawabku tersipu-sipu bila puluhan pasang mata memandang serentak ke arahku. “Boleh ta’aruf sikit?” Tersekat-sekat suaraku, gementar bercampur malu ketika memperkenalkan diri apatah lagi apabila telingaku menangkap suara-suara nakal dari kalangan muslimin yang mengusik sesama sendiri. “Ok, lepas ni ukhti bagi maklumat diri dengan setiausaha. Boleh?” Aku mengangguk akur.
Bukan aku tidak pernah mendengar mengenai MIS sebelum ini cuma komitmen jama’ah di kampus yang baru membina asas terlalu menuntut tumpuan yang lebih. Dengan bilangan yang terlalu sedikit, segala tanggungjawab terpikul di atas bahu orang-orang yang sama. Di katakan baru dalam perjuangan ini tidak juga, hanya waqi’ yang berbeza. Dulunya berada di bawah tarbiyah Hizbi UK dan Eire, pastilah jauh bezanya dengan pendekatan universiti tempatan.
Kegawatan ekonomi memaksaku dan sahabat seangkatan yang lain melupakan hasrat ke UK dan menyeret langkah ke sebuah daerah yang tidak pernah kami bayangkan sebelum ini. Sebuah universiti swasta yang terpencil dan gersang! Namun perjuangan mesti diteruskan, walau mana pun bumi dipijak, Tuhan Pemiliknya masih sama, nafas perjuangannya tidak akan berubah. Walau aku akui, remuk juga hati ketika aku merenyuk surat tawaran dari University of Portsmouth seminggu sebelum peperiksaan akhir bermula.
Tidak ku kesali apa yang ditakdirkan, pasti ada hikmah di sebalik segala ketentuanNya. Di Malaysia perjuangan lebih fokus dan realistik, berkait langsung dengan isu-isu masyarakat setempat. Malah berpeluang untuk turut sama-sama bergelumang dalam kemelut pilihanraya negara, perang demokrasi bersenjatakan sebatang pena. Lamunan ku terhenti ketika bas melalui pintu gerbang UM. Hatiku terasa disiat-siat, rindu berbaur pilu. Dan ingatan itu berlegar lagi.
“Akak nak tanya sikit, akak harap jawab terus terang ya?” Wajah lembut Kak Zah dihias senyum simpul. “Aa..Apanya kak?” Denyut jantungku bagai terhenti seketika. Soalan-soalan begitu sudah acap kali aku dengar dan aku arif amat maksudnya. “Akak tau Een faham maksud akak, tak perlu akak terangkan.” Aku bungkam. “Macam ni, akak ni cuma sampaikan hajat. Kalau dapat, Een fikirkanlah semasak-masaknya. Akak tak mahu sebutkan siapa orangnya lagi. Een solat isthikharahlah dulu. Kalau rasa tiada halangan, akak akan beritahu.” “Bagi Een masa seminggu kak?” Aku separuh merayu. Kak Zah tersenyum penuh makna, “Insyaallah la tu..” Ku sambut huluran salamnya, dia mencium pipiku mesra. “Jalan elok-elok.” Aku angguk. Keresahan yang berpadu dengan teriakan rel Komuter yang bergeser dengan landasan menyesakkan kepalaku. Ku lemparkan pandangan ke luar dari cermin kaca koc, menghitung stesyen demi stesyen yang ditinggalkan. Komuter berlari laju menuju Kuala Lumpur.
Tumpuan ku agak terganggu sekembalinya aku dari UM. Tidak aku duga ziarah ku ke sana kali ini mengundang resah. Jawapan pada persoalan yang berlegar di kepalaku memang tidak pernah terlintas di fikiranku. Hampir tidak percaya , orang yang dimaksudkan Kak Zah adalah Naufal. Dia pimpinan MIS dan aku hanyalah ahli biasa yang baru berjinak-jinak dengan gerakan berplatformkan persatuan anak negeri itu. Memang aku pernah berangan-angan menjadi sayap kirinya tapi itu hanyalah sekadar gurauan antara aku dan sahabat-sahabatku di kampus. Bagiku itu hanyalah mimpi dalam cerita-cerita fairy tales, siapa sangka ianya jadi kenyataan. Ahh..kenangan, sukarnya untuk dipadamkan!
To be continued........
~||dalam diri itu ada atma.dalam atma itulah jiwamu yg luhur.justeru perkuatkanlah akan ia dengan ilmu dan perkemaskanlah ia dengan iman||~
0 Comments:
Post a Comment
<< Home