Monday, November 07, 2005

SECARIK KASIH DALAM HIJRAHKU (Sa-tu)

~dalam diri itu ada atma.dalam atma itulah jiwamu yg luhur.justeru perkuatkanlah akan ia dengan ilmu dan perkemaskanlah ia dengan iman~ [seBenaRdiRi]

Siri Sa-Tu

SECARIK KASIH DALAM HIJRAHKU


Aku tergamam metah. Kehadirannya merencatkan asyikku melayari bacaan novel Tidak Secerah Mentari, karya Ramlee Abu Saleem. Penulis yang sedang meningkat naik dalam arus penulisan novel di negara ini. Lantas kututup novel itu. Was-was serentak menggugahi aspal hati sehingga aku terkial-kial membetulkan tempat dudukku. Sememangnya kehadiran diri itu menarik hati yang tajarrud, lalu menginjak tanah nostalgia yang masih menyelubungi ingatanku.

“Diakah itu??. Lelaki yang meninggalkan aku setelah dua tahun kami bersama. Juzaili??” Ah, nama itu kembali menghantui mandala ingatanku. Nostalgia lalu bagai terbayang di tubir mata.

Wajahnya saling tak tumpah. Dua mata yang redup dengan alur bibir yang kecil molek menjadi pusat renunganku buat beberapa saat. Aku mematikan seluruh deria rasa untuk kembali menumpukan ke arah wajah itu. Seluruh deria rasa yang tertumpu itu cuba menikmati kemanisan persahabatan yang nyata sudah terkikis dan sepahit hempedu.

“Ada orang disebelah ni?” tanyanya lembut dengan senyuman yang membuatkan aspal hatiku hampir gugur.

“Tak, duduklah kalau nombor tiket awak di sini” jawabku acuh tak acuh sambil cuba menyembunyikan resah yang bersarang di hati.

Perjalanan dari Johor Bharu ke Kuala Lumpur kali ini ku rasakan pasti menjadi begitu lama. Kenapa setelah enam bulan dan setelah ku berjaya untuk melupakannya, tika ini dia muncul kembali. Aku terus berperang dengan hati.

Aku kembali menggapai novel. Cuba mengkhusyu’kan kembali bacaan yang terganggu. Tapi mataku masih gatal mahu menjeling jejaka disebelah. Bukan kerana aku sudah terpikat, tapi mahu memastikan sama ada diakah orang yang kurindui selama berbulan ini.

Matanya pantas mengikat sinar resah di korneaku. Dia tersenyum lagi. Tiada perkataan yang keluar dari mulutnya. Bisukah dia?. Ah, lelaki memang begini. Menunjuk ego pada wanita sepertiku. Atau mungkin juga dia segan untuk memulakan bicara denganku. Maklumlah dengan pakaiannya yang bagai pak imam masjid takkan mungkin mahu berbicara denganku. Aku kembali berhusnuzdhan dengan kelakuannya.

Aku kembali menyoroti wajahnya. Masih tersenyum seperti tadi dengan mata yang sudah terkatup. Sudah lena di ulit mimpi rupanya. Mungkin kepenatan atau mungkin juga cuba untuk menyimpan tenaga sebelum berkelana di bandar besar nanti.

Aku tertancap pada tahi lalat di sebelah alur bibir kanannya. Juzaili???!! Memang dia. Walau sudah enam bulan tidak bertemu, aku masih lagi dapat mengecam akan wajahnya. Nampak seperti wujud sedikit perbezaan walaupun aku tak pasti di mana.

Darah berlari laju. Keluar masuk dari kamar aurikel dan ventrikel, lalu bersimpang-siur ke segenap sel. Vena dan aorta tidak lagi macat. Hatiku kembali digetis resah. Rona mendung berjangkit ke wajah.

Aku tidak tahu apa punca. Dia tiba -tiba meminta perhubungan kami diputuskan. Apatah lagi meminta aku terus melupakan segala nostalgia yang kami lalui bersama. Dia mahu aku membuang semua kenangan yang berkaitan dengannya.

Aku cuba memuhasabah diri, mencari justifikasi tindakannya yang mengorbankan ikatan cinta yang terjalin sekian lama. Aku menekur sejarah perjalanan cinta yang mekar seusia dua tahun itu. Aku terkedu, menggapai-gapai punca yang dirasakan berpilin-pilin. Sungguh, aku tidak menemukan sebab yang meretakkan cermin cinta dan kasih kami.

Aku sememangnya bersyukur ditakdirkan bertemu dengannya. Bantuan dan budinya bukan sedikit padaku. Merenung kembali sejarahku sebelum ini, aku rasa dia seperti malaikat yang turun ke bumi untuk memimpinku. Tapi kenapa sesudah dua tahun dia meminta hubungan ini diputuskan?. Aku terus khilaf dalam diriku sendiri.

Aku melemparkan tubuh ke kerusi bas. Entah apa yang patut kukatakan tentang bas ini. Dari luar kuperhatikan sungguh menarik dan mempersonakan tapi di dalamnya sungguh mengejutkanku. Jangan menghakim seseorang hanya dari luarannya sahaja. Aku bermonolog sendirian. Adakah ini juga pandangannya terhadapku setelah dia kurasakan sudah sangat mengenali diriku selama dua tahun ini.

Sejuk dari hawa dingin bas menjarah epidermis diri. Sambil memperkemaskan rangkulan baju sejuk, aku melemparkan pandangan keluar tingkap. Melihat indahnya ciptaan Al-Khaliq. Mata ku menggomol bukit menghijau yang kininya sudah bertukar rupa. Ditelanjangi oleh mereka yang gilakan pembangunan dan kekayaan hingga merosakkan keindahan dan kestabilan alam semulajadi. Manusia memang mudah melupakan budi. Bila sudah susah baru mahu beringat.Ah, aku seperti cuba melepaskan geramku padanya. Hati ku kembali bergetar. Radang menjentik. Kebencian mula menyala.

Ya Allah..”astagfiruLlah al azim”aku beristighfar panjang mengenangkan kemarahanku tadi. Mungkin dia ada masalah. Tapi kenapa tidak berkongsi bersama denganku.

Mengenang kembali detik pertemuan dengannya membuatkan hatiku hiba. Hobi bersembang dalam IRC di internet menemukan aku dengan seorang lelaki yang akhirnya telah banyak merubah hidupku. Setelah mendapat hidayah daripada al-Khaliq, aku cukup bersyukur apabila ada orang yang sudi membantuku dari seorang yang tidak punya apa jua ilmu agama kepada manusia yang sekurang-kurangnya mampu menunaikan tanggungjawab pada Ilahi.

Hidup di Bandaraya Kuala Lumpur memang menyeronokkan. Sebagai anak orang berada dan lebih – lebih lagi apabila bapaku punya jawatan yang tinggi dalam kerajaan, hidup ini dirasakan cukup bebas. Bebas bergaul, bebas bergerak , bebas membeli apa yang dihajati dan bebas segala – galanya kerana tiada siapa yang akan menghalangku.

To be continued.........


~||dalam diri itu ada atma.dalam atma itulah jiwamu yg luhur.justeru perkuatkanlah akan ia dengan ilmu dan perkemaskanlah ia dengan iman||~

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

-------------------------------------------



wat bahase do u speak??
Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.comGet awesome blog templates like this one from BlogSkins.com

MyNetwork
[:: ] hudasoid [:: ] GoPi [:: ] moHnas [:: ] niSah harOn [:: ] zaid Akhtar [:: ] feeeSal teHrani [:: ] Helvy tIana RoSa [:: ] LukiSan malaM [:: ] adeeb [:: ] ghuroba [:: ] MukhriZ [:: ] wanZu [:: ] mueeZ [:: ] Azzahra SafiaH [:: ] widad [:: ] aShersiMakhlukGergasi [:: ] SanaYemen [:: ] adielaRahmad [:: ] eRmyAhmaD [:: ] syahidah [:: ] sYafixa [:: ] 9_tail_kid [:: ] My Bloody Arsenal [:: ] ex-KI 2000 [:: ] aDnin [oO ] raihanah