Saturday, November 26, 2005

Mawar Firdaus (II)

Ku paksa bibir menguntum senyum tanda redha, namun mata ini terlalu mudah mengalirkan air mata. Butir-butir air jernih mengalir laju menuruni niqab yang menutup mukaku lantas jatuh menimpa belakang tangan. Terasa sejuk. Cepat-cepat aku seka air mata yang mula membanjiri kelopak mataku. Aku senyum sekali lagi. Kali ini ku cuba tanpa air mata. Ya Allah..Jadikanlah aku hambaMu yang sentiasa sabar dan redha. Aku berdoa berkali-kali. Ketika bas meluncur laju meninggalkan UM, hatiku berharap biarlah kenangan-kenangan itu turut ku tinggalkan. Biarlah ia menjadi mimpi yang dilupakan.
“Dah lama tunggu ke tadi?” Dinie menghulurkan tangan. Salamnya ku sambut. “Kalau tanam jagung dah boleh petik.” Aku berseloroh. “Kenapa tak bagitau awal-awal nak datang? Kitaorang semua terkejut tau!” Dinie tak putus-putus menguntum senyum. “Last minute punya decision. Malaslah nak menyusahkan, yelah kut-kut tak jadi datang pulak kan?” Aku membalas senyumnya.
Sepanjang perjalanan menuju ke Masjid Ghufran di Taman Tun Dr. Ismail, Dinie tak henti-henti mengomel sambil tangannya cekap memacu stereng kereta Proton Iswara putihnya. Macam-macam cerita yang keluar, maklumlah hampir setahun tidak berjumpa banyaklah modal yang hendak disembangkan. Dinie masih macam dulu yang aku kenali, kuat berceloteh, suka ketawa. Seperti dulu-dulu, gelagatnya pasti menghiburkan hatiku dan aku pasti tidak dapat menahan ketawa bila mendengar celotehnya.
Kehadiranku secara mengejut menggamatkan suasana. Ramai yang tergamam, macam mimpi kata mereka. Maklumlah sudah lama aku menghilang, sejak kembali ke kampung halaman terlalu susah untuk berhubung selalu. Walaupun lautan jadi pemisah, ukhuwwah tetap terpahat, malah kerinduan itu jugalah yang membuat aku bersusah-payah memujuk ayah dan ibu untuk mengizinkan aku ke mari.
“Apa khabar orang seberang?” Husna memelukku erat. “Baik-baik saja dong!” Kami sama-sama tertawa. “Program tak mula lagi ke?” Aku menjenguk ke ruang dalam dewan. “Tengah tunggu penceramah.” “Tu, Ustaz Hakim kan ada?” Aku mencuitnya. Husna tersengih. “Tu la..smart mengalahkan penceramah.” Hakim yang perasan kehadiranku tersenyum-senyum dari jauh. Malu-malu dia menghampiriku. “Err..akak bila sampai?” “Pukul 7 pagi tadi.” Jawapku ringkas. Selepas berbual sebentar Hakim mohon beredar kerana penceramah sudahpun sampai menandakan sesi pertama akan bermula.
“Macam mana awak dengan Naufal?” Tiba-tiba terpacul pertanyaan dari mulut Husna ketika kami berpimpinan tangan menyusuri perkarangan masjid sewaktu program berhenti rehat. Aku tersentak. Perlahan-lahan aku leraikan genggaman tangan Husna. Ku lepaskan pandangan ke tanah rendah, angin petang yang berhembus membuat tudung kami bagaikan menari-nari mengikut irama desiran angin bukit.
“Kami tak ada apa-apa. Sekadar sahabat.” Aku mengukir senyum. “Maksud awak?” Ku biarkan Husna tertanya-tanya. Seribu pertanyaan tergambar di ruang mata Husna yang bundar. “Ada orang lain yang lebih memerlukannya. Cukuplah sekadar itu yang saya katakan. Saya tak mahu kenangkan lagi.” Husna mengangguk, memahami kehendakku. “Tak apa, kumbang bukan seekor. Ramai lagi muslimin dalam dunia ni.” Aku sempat berseloroh. Husna hanya membisu. Aku tahu banyak perkara yang bermain dalam fikirannya tapi sebagai sahabat yang sudah lama mengenali aku pastinya dia sudah masak dengan sikap ku yang perahsia. “Sabarlah..” Husna menggenggam tanganku seakan memahami apa yang aku rasakan. Mungkin senyuman yang ku ukir di bibir tidak mampu menghapus kesan air mata yang masih jelas terlukis di wajahku.
“Usrah jadi tak ni?” Tanyaku resah. “Insyaallah.” Husna memberi jaminan. “Jangan tak jadi pula, saya sanggup delay flight ni semata-mata nak tunggu usrah.Sekurang-kurangnya saya ikut usrah alumni sekali seumur hidup. Tak pun setahun sekali, tunggu tahun depan pula. Itupun kalau umur panjang.” Aku mengomel sendiri. Husna tergelak kecil. “Dah baca tentatif usrah? Minggu ni katanya nak buat ulasan buku Ma’alim Fitthooriq.” Aku angguk. Sudah dua kali ku khatamkan buku hasil tulisan Syed Qutb itu tapi isinya masih belum mampu ku hadamkan sepenuhnya. Tidak menghayati agaknya.
“Tak sabarlah rasanya nak tunggu usrah. Rindu, lama tak usrah.” “Saya pun, tak sabar nak tunggu malam ni.” Azia tersengih nakal. “Rindu usrah ke rindu Ustaz Farhan?’ Dinie berseloroh nakal. “Dua-dua, tapi rindu lagi kat ustaz comel tu!” Azia membalas usikan Dinie. Berderai ketawa. Azia dan Dinie pantang berjumpa, ada-ada saja bahan gurauan mereka,. “Ok, dah sampai PKNS pun. Nak tengok ekspo buku dulu ke nak makan?” Husna bertanya sambil tangannya pantas memutar stereng kereta Honda Accordnya. “Buku?” Laju aku mencadangkan. Semua serentak menyetujui. “Ok. Kita bagilah chance kat orang tu, dia nak balik esok. Kat kampung dia tak jumpa buku macam tu.” Dinie mengusik nakal. Mereka ketawa lagi. Aku hanya tersengih, sudah lali dengan usikan-usikan Dinie.
Akhirnya aku terpaksa kembali juga. Ayah dan ibu sudah bising memanggil pulang, katanya surat tawaran masuk ke maktab perguruan sudah diterima. Kalau ikutkan hati mahu saja aku berlama-lama, tapi apakan daya ada komitmen lain yang perlu aku tunaikan. Permohonan ke maktab ini pun atas desakan ibu, sebagai tanda hormat aku tunaikan permintaannya walaupun hanya separuh hati.
Ketika pesawat Boeing 747 berlepas membelah langit malam, ku lontarkan pandangan sayup ke bawah buat kali terakhir. Lampu berkerlipan memukau pandangan buat seketika. “Selamat tinggal semuanya..” Aku berbisik perlahan. Semakin tinggi semakin sayup kerlipan cahaya dari pandangan, akhirnya pudar dan terus menghilang ditelan kabus tebal.
Perlahan-lahan ku sandarkan kepala. Ku sedut udara sedalam-dalamnya seakan-akan bersamanya ku sedut semangat dan kekuatan. “Tuhanku, kembalikan sakinah padaku Ya Allah. Berikan ku sedikit kekuatan wahai Tuhan Yang Maha Perkasa agar aku mampu berdiri kembali menjadi srikandi berhati waja. Jadikan ujianMu sebagai sumber kekuatan dan kebahagiaanku, jadikan redhaMu sebagai hadafku. Ya Allah Ya Rahmaan!” Ku raup mukaku dengan kedua belah tapak tanganku. Dada terasa lapang, alhamdulillah!
Ku isikan masa di sepanjang penerbangan dengan membelek beberapa buah buku yang dihadiahkan sahabat-sahabat. Salah sebuahnya berjudul Al-Munthola’, buku yang ditujukan khas buat pejuang-pejuang Islam. Isinya begitu tajam dan bernas.
Ku telusuri kandungannya muka demi muka tanpa menghiraukan sekeliling. Aku khusyuk mencipta duniaku sendiri. Sayup-sayup ku dengar suara lembut membisikkan namaku, menyusup ke seluruh neuron bawah sedar. “Bangun wahai mujahidah, bangkitlah bersama kesabaran dan kecintaan yang hakiki. Jejakilah langkah Khadijah, Fatimah dan roh-roh para syuhada’. Sakinah, perjuangan menuntut pengorbanan tapi itulah madu yang paling manis. Teruskan perjuanganmu hingga ke nafas terakhir, semoga kelak kau bakal menghias raudhah abadi. Mekarlah menjadi mawar firdaus!”
Aku tersentak. Bisikan itu masih terasa panas di telingaku. Mataku menjelajah ke seluruh ruang pesawat, para penumpang hanyut dalam lena. Ku lemparkan pula pandangan keluar pesawat lewat tingkap yang separuh terbuka, hanya pekat langit malam yang terhampar. Ahh..Aku terlelap rupanya. Aku menutup buku Al-Munthola’ yang masih terbuka di ribaanku, perlahan-lahan ku letak di dada, dekat dengan jantung. Malam itu tafakurku panjang, tenggelam dalam muhasabah dan air mata keinsafan.


~||dalam diri itu ada atma.dalam atma itulah jiwamu yg luhur.justeru perkuatkanlah akan ia dengan ilmu dan perkemaskanlah ia dengan iman||~

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

-------------------------------------------



wat bahase do u speak??
Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.comGet awesome blog templates like this one from BlogSkins.com

MyNetwork
[:: ] hudasoid [:: ] GoPi [:: ] moHnas [:: ] niSah harOn [:: ] zaid Akhtar [:: ] feeeSal teHrani [:: ] Helvy tIana RoSa [:: ] LukiSan malaM [:: ] adeeb [:: ] ghuroba [:: ] MukhriZ [:: ] wanZu [:: ] mueeZ [:: ] Azzahra SafiaH [:: ] widad [:: ] aShersiMakhlukGergasi [:: ] SanaYemen [:: ] adielaRahmad [:: ] eRmyAhmaD [:: ] syahidah [:: ] sYafixa [:: ] 9_tail_kid [:: ] My Bloody Arsenal [:: ] ex-KI 2000 [:: ] aDnin [oO ] raihanah