Assalamu'alaik........
saya muatkan satu artikel ilmiah mengenai Dinar Emas untuk kita fahami dan fikirkan. Seperti janji Allah dan pesan Rasulullah s.a.w, Islam itu agama yang telah lengkap. Sekurang-kurangnya dapat membuka minda kita tentang kewangan dan ekonomi Islam. Walaupun artikel ini panjang tetapi perlu sebagai pelengkap ilmu Islam kita. Artikel asal boleh diakses melalui
http://www.ddrgutm.fs.utm.my/Lagi%20Rencana/DinarEmas_AgenPenyatuanIslam.htm
Dinar Emas Agen dan Strategi Penyatuan Umat Islam
OlehProf. Madya Dr. Zuhaimy Hj. Ismail
Jabatan MatematikFakulti Sains
Universiti Teknologi Malaysia
Hampir semua peperangan dan kekacauan yang berlaku sekarang ini ada melibatkan orang Islam. Umat Islam dibunuh dengan kejamnya di Bosnia di depan mata kuasa dunia, di Chechnya umat Islam diburu dan dibunuh, di Afghanistan umat Islam dilagakan untuk berbunuh sesama sendiri. Kini hampir seluruh umat Islam di dunia kini merasakan mereka ditindas dan dipermainkan oleh Amerika Syarikat dan koncu-koncunya. Perkosaan bumi Pelestian dan Iraq dengan pembunuhan yang mencecah beratus-ratus orang tidak kira bayi atau orang tua. Kekejaman ini tidak lagi mendapat perhatian mana-mana pihak.
Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang seharusnya memasti keamaan di ketepikan dan dianggap seolah-olah sudah tidak relevan lagi. PBB ditubuhkan dengan objektifnya hanyalah untuk menyelesaikan masalah yang ditimbulkan oleh orang Yahudi di Eropah. Dalam tahun 1948, PBB telah mengambil tanah bumi Pelestin bumi umat Islam dan mencampakkan manusia bermasalah di Eropah itu ke sana, selepas itu kita dapati PBB tidak relevan lagi. Statistik atau rekod kegagalan PBB bertambah satu demi satu - kegagalan PBB di Bosnia, Chechnya, Afghanistan, Kashmir, Indonesia dan banyak lagi.
Dunia kini merasakan kuasa barat yang diketuai AS telah membawa dunia kepada kancah peperangan (pepertual warfare) dengan penaklukan Afghanistan, Iraq dan memerangi penganas Taleban dan Al-Qaedah. Atas nama memerangi pengganas, akaun simpanan sesebuah negara atau pertubuhan akan dibekukan sekiranya ada sahaja tuduhan bahawa kononya terdapat wang yang memasuki atau mengalir keluar dari akaun yang mereka sangsi. Sesungguhnya hipokrasi ditahap tertinggi sedang di amalkan oleh Amerika Syarikat dan koncu-konconya. Sekiranya umat Islam terus bergantung kepada AS, kita seolah-olah menyerahkan leher kita untuk disembelih. Umat Islam mesti mencari jalan untuk bersatu.
Selagi umat Islam mengharapkan pertolongan selain daripada Allah s.w.t. dan sesama umat Islam selagi itulah kita akan di perbodohkan. Kita umat Islam di Malaysia mampu memulakannya – mengetuai OIC dan kearah menggunakan dinar emas dan dirham perak bagi perdagangan antara umat Islam. Semua yang berlaku sekarang ini semuanya di atas restu Allah s.w.t dan tidak boleh diambil ringan.
Malaysia selaku ketua negara-negara Islam telah mengambil inisiatif untuk menyedarkan dunia bahawa kezaliman Yahudi di Pelestian dan keganasan di Iraq tidak boleh diteruskan. Malaysia selaku tuan rumah telah memanggil mesyuarat negara OIC untuk membincangkan isu di Pelestin dan Iraq pada 19 April 2004 di Putra Jaya. Mesyauarat ini telah berjaya mengeluarkan dua deklarasi mengenai Iraq dan Pelestin. Cuma agak mendukacitakan hanyalah bilangan negara yang turut serta dalam persidangan ini hanyalah sebanyak 13 negara daripada 52 negara OIC (25% kehadiran sahaja).
Apakah isu kesengsaraan rakyaat Pelestin dan Iraq tidak penting bagi umat Islam dari negara lain? Apakah umat Islam tidak boleh bersatu? Apakah isu masjidilaqsa bukan isu agama? Mungkin juga isu umat tertindas sudah menjadi sesuatu yang sudah lapok!Apakah kita sudah tidak kesah dengan kezaliman tentera Israel yang menggunakan peluru getah dengan sengaja menghalakan tembakan dan membutakan satu atau kedua-dua mata kanak-kanak Pelestian antara usia enam bulan ke lima belas tahun. Tahukah kita hospital di Pelestin sudah kehabisan mata palsu. Lebih dahsyat lagi mereka terpaksa menghantar kanak-kanak untuk bertempur dengan tentera Israel dengan membaling batu. Yang lelaki lain pula menggantungkan bom dan meletupkan diri dan membunuh wanita dan kanak-kanak Israel. Ke mana hala tuju umat Islam?Kesengsaraan dan kekalahan umat Islam yang belaku berkurun-kurun lamanya telah membuka satu era yang penuh dengan azam untuk mengembalikan kegemilangan yang pernah kita kecapi di Baghdad, Andulusia dan Istanbul.
Masalah yang dihadapi oleh umat Islam sejak seratus tahun yang lalu sering dilihat dalam bentuk Islam tradisi (Islam awal) dan Islam di zaman moden. Jika kita mengambil pendirian kepada Islam asal yang mengikut tradisi awal, kita akan di labelkan sebagai kolot dan tidak mengikut perkembangan zaman dan cuba untuk membawa umat Islam ke zaman silam dan mundur. Jika kita menyokong pemodenan, ini bermakna kita menerima sistem demokrasi yang diwakili parti politik, dewan persidangan dan parlimen, kenegaraan dan institusi mega yang terkandung dalam se sebuah negara. Masalah yang timbul akan dikategorikan sebagai masalah politik dan kita akan meniru cara orang barat mengatasi masalah kita.
Kesan mengikuti kaedah barat adalah kita akan menentang kepimpinan dengan alasan untuk mendapat kebebasan bersuara dan sejarah menunjukkan pejuang Islam di Mesir menentang Saddam, di Syria menentang Assad dan seterusnya. Negara seperti Bosnia, Algeria dan Kashmir mengharapkan kemerdekaan, tetapi apabila Iran memperolehi kemerdekaan kita dapati negara itu dijadikan sebuah republik, mereka menubuhkan sebuah pemerintah berparlimen, mengubah nama polis perisikan, mencetak wang kertas, menubuhkan bank pusat yang seiring dengan Bank Dunia dan IMF, meneruskan penyeksaan banduan dan menghantar duta ke PBB. Paten inilah yang diikuti diseluruh dunia.
Umat Islam mahukan penyatuan dan mahukan agen penyatuan bukan dengan meniru cara barat dan mengubah nama sahaja.Untuk menamatkan kesengsaraan dan pengaiban umat Islam kita mungkin dan dirasakan tidak memerlukan jihad dalam bentuk jihad tradisi (ini hanyalah suatu pendapat sendiri) tetapi harus berjuang untuk terus mentaati Allah s.w.t., menegakkan kembali zakat - rukun Islam yang roboh, penghapusan riba, mengadakan sistem matawang yang berteraskan dinar dan dirham untuk umat Islam, mengembalikan pasar di mana umat Islam boleh berdagang dengan menggunakan wang dinar emas dan dirham perak.
Semua ini akan secara beransur-ansur membebaskan umat Islam daripada bergantung kepada sistem ekonomi berteraskan riba. Kita umat Islam harus tahu bahawa wang kertas AS dan mana-mana wang kertas di dunia ini tidak lagi disandarkan dengan emas. Wang kertas tidak ada nilai intrinsik.Isu penyatuan umat Islam adalah agenda utama sekarang ini. Negara-negara Eropah mula membuat penyatuan bangsa-bangsa Eropah melalui pengenalan dolar Euro. Proses untuk mengadakan dolar Euro ini mengambil masa lebih daripada 15 tahun, iaitu proses untuk menyatukan ekonomi negara yang berbagai etnik, agama dan adat. Pada 2 januari 2001, Eropah mempunyai matawangnya sendiri. Bangsa Eropah telah boleh bersatu dengan menggunakan satu unit matawang kertas tanpa sandaran sebagai agen pertukaran.
Umat Islam juga perlu bersatu di bawah matawangnya sendiri yang jauh lebih mantap daripada apa yang digunakan di Eropah. Dolar Euro walaupun tidak serupa dengan dolar Amerika, tetapi kedua-duanya sama iaitu wang kertas yang tidak mempunyai nilai intrinsik. Manakala dinar emas adalah matawang yang berasakan kepada emas tulin 22 karat seberat 4.25 gram setiap dinar. Umat Islam tidak perlu mengambil masa selama 15 tahun untuk memperkenalkan dinar emas kerana semua manusia tahu akan nilai yang ada pada emas. Kaum Cina, India dan Melayu di Malaysia memang mengetahui tentang bernilainya logam yang dinamakan emas dan pemantapan kesatuan bangsa di Malaysia boleh dilakukan dengan penggunaan dinar emas. Di Dubai sebuah pasar telah ditubuhkan oleh pihak pemerintah di mana pengunjung boleh mendapatkan dinar emas dari wakala di luar pasar dan menggunakannya di dalam pasar itu. Sekiranya ini telah berlaku di negara itu, negara kita juga boleh dimemulakan. Mungkin dilakukan secara kecilan dahulu misalnya di pasar-pasar peladang dengan infrastruktur yng telah ada.
Umat Islam tidak mungkin dapat bersatu dengan menggunakan pendekatan politik. Di Indonesia sahaja terdapat berpuluh-puluh parti politik dan masing-masing mengatakan pegangan mereka benar. Umat Islam tidak dapat bersatu di atas nama bangsa dan etnik komuniti kerana perbezaannya begitu besar atau terlalu banyak. Tetapi kita tahu bahawa semua manusia saling memerlukan antara satu sama lain dan manusia perlu berdagang, mendapatkan perkhidmatan dan pertukaran hasil yang diusahakan. Ekonomi baru diperlukan dimana hasil yang diusahakan ditukar dengan barang yang bernilai juga dan bukan dengan wang kertas janji sahaja.
Wang dollar Amerika atau dollar Euro tidak mempunyai nilai jika dunia menyatakan tidak mahu lagi dolar AS. Pemilik wang kertas dolar AS tidak mengikuti (mengekori) wang kertas dan pemilikan tidak mengikuti wang kertas sama ada jarak atau masa. Disebaliknya dinar emas dan dirham perak masih mempunyai nilai wlaupun setelah dicairkan atau dipindahkan ke luar negara. Kita tidak boleh katalah yang sama dengan wang kertas Rupiah. Wang Rupiah tidak laku di German, di Perancis dan London.Tahukah kita semua bahawa Bank Dunia dan IMF adalah pendokong wang kertas dolar AS. Sesungguhnya telah tercatat dalam carta (Charters) Bank Dunia dan IMF) dan dalam semua perjanjian telah menetapkan bahawa segala urusan perdagangan tidak boleh menggunakan emas. Mengapa perkara kembalinya kepada penggunaan dinar emas sangat ditakuti sehinggakan perlu dicatat dengan jelas dalam charter kedua intitusi perbankan dunia ini. Apa yang mereka mahu selindungi? Umat Islam harus tahu perkara ini. Umat manusia semuanya tertipu dengan wang kertas yang dicetak tanpa sebarang sandaran.
Cuba kita masyarakat di Malaysia (dinar emas bukan milik umat Islam sahaja) ini mengambil langkah untuk menyimpan setengah dinar setiap bulan. Jika ada 10 juta rakyat Malaysia yang membeli emas, jadi jumlah dinar yang diperlukan adalah 5juta diperlukan untuk menempa dinar emas oleh Malaysia setiap bulan. Ini bersamaan dengan 21,250,000 gram emas diperlukan setiap bulan atau 255,000,000 gram setiap tahun. Jika ini diulang di beberapa buah negara OIC, kita dapati permintaan emas akan terus meningkat dan harga emas mengikut ukuran dolar akan terus meningkat. Kuasa membeli wang dolar AS akan menyusut dan pada waktu itu kita akan dapati mereka memerlukan lebih banyak kertas untuk membeli minyak kelapa sawit, getah dan kereta yang dikeluarkan dari negara ini. Jika harga emas tidak di kawal harganya oleh lima agensi yang menetapkan harga emas dunia sekarang ini, sudah tentu harganya dalam dolar AS akan terus meningkat.
Sebenarnya emas 4.25gram tetap tidak berubah tetapi kuasa membeli dolar AS akan terus menyusut. Yang berhormat Datuk Shaykh Noh bin Gadut, Mufti Negeri Johor pernah menyarankan supaya umat Islam di Malaysia ini menyimpan 20 dinar emas di setiap rumah dan mengeluarkan setengah dinar setelah cukup haulnya. Ini cadangan yang amat baik. Jika kita umat Islam memulakan pembayaran zakat menggunakan dinar emas, hantaran masa kawin menggunakan emas, simpanan untuk naik haji juga disimpan dalam dinar emas dan memberi hadiah hari jadi kepada isteri juga dinar emas, sudah tentu kita akan dapati kekayaan sebenar akan berada di tangan umat Islam. Kalau kita tidak melakukan usaha ini - siapa lagi? Jadi umat Islam boleh menggunakan dinar emas sebagai agen dan strategi penyatuan ummah.Negara-negara Islam selalu di manipulasikan matawang dan sistem ekonomi mereka dipinjam dari barat. Sudah pasti sistem ekonomi yang mereka reka dan amalkan, mudah sahaja ditipu helah dan dimanipulasikan demi memastikan komoditi dari negara dunia ketiga terus mengalir bagi memastikan standard penghidupan mereka di barat terus tinggi.
Dinar emas boleh menyatukan umat Islam dan digunakan sebagai penghalang daripada aktiviti serangan ekonomi yang pernah kita alami.Secara strateginya umat Islam melalui OIC boleh memulakan penggunaan dinar emas dalam perdagangan antarabangsa antara dua atau tiga negara. Walaupun kita dengar cerita mengenai Malaysia dan Iran sudah mula menjalankan perdagangan menggunakan dinar emas sebagai pembayaranya, tetapi sejauh mana kejayaan atau kegagalanya diberitakan. Malaysia mengharapkan negara OIC dan yang lain dapat menggunakan dinar emas dalam perdagangan dua hala bagi meningkatkan lagi perdagangan antara negara-negara Islam. Apabila ini berlaku, umat Islam tidak lagi bergantung kepada dolar AS yang tidak bernilai dan tidak stabil ini. Malaysia mengharapkan supaya penggunaan dinar ini menjadi amalan perdagangan antara negara-negara OIC dan umat Islam mengunakan dinar emas untuk membayar zakat, menyimpannya sebagai harta, menggunakannya sebagai hadiah dan sebagainya.
Kita mesti berjuang untuk terus membuat perubahan dari wang kertas ilusi kepada dinar emas yang bernilai intrinsik. Untuk mengubahkan norma penggunaan wang kertas kepada dinar tidak sukar. Yang menjadi sukar adalah kerana kita menyatakan bahawa menggunakan dinar emas itu sukar. Sesuatu perubahan itu memerlukan pengorbanan dan kecekalan, apa yang kita gunakan sekarang ini adalah suatu tabiat atau habit. Dulunya kita gunakan dinar emas, kini setelah sekian lama dipaksa menggunakan wang kertas ke atas kita lama kelamaan ianya menjadi satu tabiat. Penggunaan dinar emas pada mulanya akan nampak janggal tetapi setelah ianya diterima dan digunakan oleh masyarakat umum, dinar emas pula akan menjadi perkara biasa dan wang kertas menjadi janggal. Sesungguhnya penggunaan wang kertas yang janggal iaitu kita menukar sesuatu yang bernilai dengan sesuatu yang tidak ada nilai intrinsik. Peluh kita di bayar dengan kertas yang tidak mampu menyimpan nilai mengikut masa.Di Malaysia terdapat beberapa institusi kewangan yang berusaha untuk mengembalikan dinar emas dan dirham perak. Setiap institusi beroperasi secara bebas antara satu sama lain.
Walau bagaimanapun dinar emas dan dirham perak boleh dijadikan agen penyatuan umat Islam. Kesukaran melakukan perubahan daripada penggunaan wang kertas kepada dinar emas adalah disebabkan ramai diantara kita umat Islam berpegang kepada cara pemikiran atau teori ekonomi barat. Pendidikan barat yang kita terima sering mempengaruhi cara kita berfikir, iaitu suatu pemikiran yang agak rejid mengikut struktur permikiran berlandaskan konsep tesis dan anti tesis. Untuk menukar kepada penggunaan dinar emas kita terbawa memikirkan tentang logik cukup atau tidaknya emas, emas berat untuk dibawa atau AS akan merosakkan sistem yang akan dibangunkan.
Kita harus memikirkan cara pengenalan yang boleh melepaskan daripada terus dimanipulasikan oleh sistem ekonomi yang berteraskan riba. Kita umat Islam mesti menggantikan sistem riba dengan sistem yang pernah digunakan oleh Rasulullah dan para sahabah dan mengelak diri kita dan umat kita daripada diperangi Allah dan RasulNya terhadap pengamal riba. Di atas kesedaran ini umat Islam boleh mengambil langkah stretegi untuk mengembalikan penggunaan dinar emas.
Salam wal assalam
~||dalam diri itu ada atma.dalam atma itulah jiwamu yg luhur.justeru perkuatkanlah akan ia dengan ilmu dan perkemaskanlah ia dengan iman||~
0 Comments:
Post a Comment
<< Home