HUJAN MENGGUYUR DI AL QUDS
SEJAK ummi syahid di kota Jenin dibenahi dadanya dek peluru sesat tentera Zionis yang menggila lama dahulu, lena malamku acapkali diragang mimpi-mimpi yang aneh dan berulang-ulang. Tidak putus-putus terkitar dalam rutin tidurku sehinggalah kini. Repitisi…! Aku pejam mata erat-erat. Aku nampak gurun itu. Ya…gurun yang menakluk malamku. Gurun itu!
GELAP.
Batang tubuh kurasakan terdampar di sebuah butala kontang yang tidak dapat kutentukan mata anginnya. Asing dan aneh. Mungkinkah ini bukit Tursina, daerah Musa menerima lembaran-lembaran Tauratnya. Atau mungkinkah daerah ini adalah Wadi Rahqan, berdekatan dengan lokasi bersejarah, ghazwah Badr al-Qubra. Atau mungkin juga ini sekadar gurun nihil, tidak bernama, bahkan tercicir dari peta fikrahku sendiri. Aku jadi nanar dibuatnya. Aku bukannya Yusof yang bijak mentafsir mimpi. Aku sekadar pentafsir yang buntu.
“Zami…Zami…Zami…!”
Lantas dalam sepicing muncullah seorang lelaki tua berjubah putih tersenyum ke arahku. Senyum yang punya makna berselirat. Bercangkaliwang. Tapi aku tetap dengan diriku, pentafsir yang buntu. Kuamati ekor serbannya yang berjuntai dimainkan angin nakal yang kesesatan. Entah mana datangnya angin itu…
“Zami…Zami…Zami…!”
Ah…! Suara lelaki arab itu terus-terusan berdesing di pinggir cupingku. Aku…aku bingung!
“Siapa kau yang cuba mencetus galau dalam sunyi rohku?” sergahku kebuntuan.
“Zami…Zami…Zami…!”
Ah…! Itu bukannya jawapan yang kudambakan wahai lelaki asing! Syurahkan kepadaku hajatmu bertandang dalam lenaku. Syurahkan…!
Tiba-tiba badai mengamuk lantas berkecamuk maya itu dengan pasir-pasir sesat yang melayah tak menantu. Mataku pedih…disergap kumin-kumin debu. Dan pabila kucuba membuka mata mencari lelaki tua itu, dia sudah pergi membawa bersama bayangnya.
“Ah…! Aku mahu lena dalam syahid, sedang Khalid Al Walid bisa menalak berontak kerana terserampak Izrail di atas katil, bukannya di lapangan darah-medan suci jumhur syuhada mukhlis! Aku juga. Aku juga!” tempikku tatkala kurasakan diri bagai seekor kuda yang ditewaskan. Aku tewas.
GELAP.
Dan tatkala aku membuka mata, gurun nihil itu sekadar kamar sempit yang gelap. Aku terpinga-pinga, kebuntuan. Maaf, sudah kunyatakan bahawa hemahku bukannya jelmaan Yusof a.s yang bijak mentafsir mimpi.
Ketika itu mentari mula bersimpuh di rusuk masyrik, mencenung rembulan yang tersipu-sipu menyusup di balik bukit pasir yang kontang. Bumi Nablus di Utara Tebing Barat pagi ini tenang amat, meskipun aromanya bergumpal dengan gelombang-gelombang kerusuhan. Sesudah usai solat Subuh, pintu rumahku diketuk deras dan bingit. Aku tersingahak. Adakah tentera-tentera Yahudi terkutuk itu sudah memulakan aktiviti onar mereka di awal pagi ini? Ah! Tanganku sentiasa siaga untuk dilumuri darah. Sentiasa!
Hatiku menjadi tenang sedikit tatkala mendapati Fudhail di muka pintu. Dia masuk pantas. Dadanya berombak kencang bak ribut pasir melanda. Lantas dia tersandar lelah di pojok kamar sempitku, mengagau nafasnya yang hilang, sambil menghadiahiku senyum seribu makna.
“Tiga hari lagi kita ada misi penting. Bersedialah!” Suaranya langsung putus. Aku tersenyum mencerlung Fudhail.
Fudhail Abbas.
Seorang pemuda lewat 20-an yang merupakan seorang pejuang Hamas sekaligus ashabku yang terakrab. Sukmanya adalah segara bergelombang. Imannya adalah besi waja. Semangatnya adalah api menjulang. Cintanya seharum kuntuman narwastu. Dia tidak pernah gentar pada Izrail lantaran itulah aku memberi jolokan ‘Asad’ padanya dek jiwa singa yang merasuk dalam dirinya.
Aku masih ingat detik-detik muqaddimah pertemuanku dengannya. Saat di mana aku mula mengenal erti jihad. Mengenal erti perjuangan. Mengenal intifada! Ketika itu aku masih belasan tahun, sedang melontar batu-batu jalanan-bersengketa dengan kereta kebal yang nyata bak kucing mencabar singa di pinggir kem pelarian Rafah, di Gaza. Semarak mudaku begitu mengangah sehinggakan aku tidak mempedulikan nyawa yang jadi pajakan-apatah lagi berdepan dengan kaum yang telah membunuh ummi dan abi dengan kejam. Dalam kecamuk belasan anak-anak muda bumi Al-Quds itu tiba-tiba sebuah kereta kebal menghalakan muncungnya tepat ke arahku, kira-kira tiga depa jauhnya. Aku lantas gamam. Dalam hatiku hanya ada nama tuhan. Tuhan. Tuhan. Tuhan. Aku ialah seekor semutmu!
Mujurlah seorang pemuda yang asing sempat menarik dan mengheretku ke sebuah lorong yang agak tenang. Aku pucat namun syukur. Fudhail. Itu merupakan detik pertama kami berkenalan, dan tatkala itu jugalah Fudhail yang merupakan seorang anggota pejuang Hamas mengajak aku mengikuti perjuangannya mengangkat senjata.
“Kita lawan peluru dengan peluru. Darah dengan darah. Seruan Jihad harus bersambut.” kata Fudhail dengan wajah penuh yakin.
Dan hari ini, setelah tali mahabbah antara aku dan Fudhail tertakma kejap,dia datang seperti biasa membawa khabar misi baru untuk kami. Tiga hari lagi kami perlu menyerang hendap gerombolan tentera jahanam itu kira-kira satu kilometer dari pinggir kota Nablus. Kata Fudhail, perisik kami menjangkakan mereka akan melalui kawasan itu untuk ke kem pelarian Balata bagi memburu anggota-anggota Briged Jihad Al-Aqsa sekaligus menyergap kawasan petempatan orang-orang Palestin.
“Satu jentolak, sebuah kereta kebal, dan dua buah kereta perisai,” ujar Fudhail. Aku mengangguk sambil tanganku menggenggam kepal. Geram mengangah dalam jiwa mudaku.
Celaka Yahudi! Celaka Israel! Tidak sudah-sudah mereka berbuat biadap di tanah pertiwiku. Sejak aku menurut Fudhail menyertai Hamas, telah banyak seruan jihad aku laungkan. Ya…! Aku dengar takbir Sheikh Ahmad Yassin seolah-olah aku sedang mendengar suara mukhlis Muhammad Al-Fatih tatkala menawan Constantinople. Aku nampak bengis Umar al-Khattab dalam bening kolam wajahnya.
Mengapa mereka tidak pernah serik bermain darah dan api. Mereka dibakar mentah-mentah oleh dendam dan kejahilan. Pabila tuhan memberi wahyu kepada Musa untuk membawa mereka masuk ke Baitul Maqdis menentang puak Kan’an, mereka takut. Merekalah bangsa pengecut sehinggakan generasi mereka terpaksa diganti oleh generasi Yushak bin Nun dan Kaleb bin Yafuna. Dan, pabila mereka menguasai bumi tuhan ini, mereka ingkarinya.
Mereka bunuh nabi mereka sendiri! Zakaria a.s….Yahya a.s…dan mujurlah Allah menyelamatkan Isa al-Masih dari dibunuh oleh mereka. Sedangkan tatkala Umar al-Khattab dan Salahuddin al-Ayubbi membuka kota Baitulmaqdis, tidak ada penindasan. Mereka tetap dilayan sebagai manusia.Dan kini mereka berindak biadap, menceroboh tanah suci ini lalu mengusir kami keluar dengan peluru dan senapang.
“Mayat-mayat para komando (Hamas) akan terus menggoncang dan meletupkan entiti Zionis!”
Namun amaran pemimpin kanan kami, Abdel Aziz Rantisi di kem pelarian Jebaliya di Gaza tempoh hari tidak mereka ambil cakna. Bahkan dengan pongah mereka mendirikan tembok di Tebing Barat bagi memisahkan wilayah Israel dan Palestin. Setelah runtuhnya tembok Berlin tanggal 1989 masih ada lagikah tangan-tangan durjana yang cuba membina tembok pemisah sesama manusia yang sudah ditentukan haknya oleh Rabb.
Suatu pagi pernah kuterdengar ijtihad Dr Yusoff al Qardawi lantas segera menawarkan diri untuk menjadi pengebom berani mati bagi membela nasib bangsaku. Namun Fudhail dan beberapa orang ashabku yang akrab melarang. Kata mereka kemahiran dan kepakaranku membidik raifal tidak harus dipersiakan. Lebih besar maslahatnya buat bangsaku jika aku membidik senapang. Aku akur. Lantaran itulah aku sering dikerah untuk menyertai ekspedisi serang balas di beberapa kawasan di tanah airku lantaran ketepatan bidikanku. Telah banyak lokasi strategik mereka kuamuk. Abu Diss, Tel Aviv, Nablus, bahkan Rafah di Genting Gaza pernah kutinggalkan sisa-sisa jihadku di sana.
“Adikmu Zhariff syahid di Haifa.Dia gugur sebagai pengebom berani mati dengan melilitkan 10kg bom di pinggangnya lalu menyusup ke sebuah pusat hiburan Yahudi,” khabar Fudhail dua tahun lepas, sewaktu angkatan jihadku mengisytiharkan Intifada Al Aqsa lewat September 2000. Jiwaku semerta dirasuki sebak. Namun dalam diam aku gembira -aku nampak rohnya sedang melayah di ujana Daarul Muaqaamah dalam mimpiku.
Hari ini seramai tujuh orang para mujahidin akan berjuang dengan panji suci tuhan kami. Ya Allah! Guyuri medan kami dengan hujan rahmatmu. Kami akan berjuang menentang tentera Yahudi yang keparat itu.
Malam itu kami beramai-ramai berqiamulail di rumah Fathir. Kami memohon rahmat iradat dari penakluk jagat agar menurunkan tentera samawinya yang pernah tampil dalam perang Badar. Kami bimbang jika ini merupakan hari kami yang terakhir. Kami mohon ampun kepada tuhan atas segala noda-noda yang telah kami palitkan. Dalam doa aku menangis. Pinta seorang abdi kepada tuannya.
Kemudian Fathir mensyurahkan dengan mendalam strategi yang telahpun dirancangnya. Secarik kagum merambak dalam nubariku melihat ketokohannya.Pintarnya milik Khalid al Walid. Keperkasaan imannya bak Bilal bin Rabah.
Dan akhirnya, kami diagihkan senjata yang telah dibawa masuk dari Mesir ke Tebing Barat melalui terowong-terowong sulit berhampiran dengan sebuah kem pelarian di situ. Pernah juga si Yahudi itu cuba meruntuhkan terowong-terowong itu sekaligus menyekat kemasukan senjata kepada pihak Palestin namun mereka nyata dirasuk syaitan pabila mula mengganas membunuh para pelarian yang tidak berdosa dan lemah itu. Celaka!
Aku dan Fudhail telah ditugaskan untuk menyerang dari sebuah bangunan usang sebagai pembidik tepat yang menyerang dari posisi yang atas. Fathir yang juga mengetuai serangan hendap ini akan mengepung dan menyerang dari arah belakang pabila percaturan gerombolan soldadu musuh libang-libu nanti. Makhzumi dan Aeman berperanan sebagai penutup jalan di hujung lorong itu. Mereka dibekalkan dengan beberapa butir bahan letupan. Nasrullah dan Dhia’uddin pula bertindak sebagai penggempur. -Nasrullah di sebelah masyrik manakala Dhia’uddin pula di sebelah maghrib.
Selepas usai solat Zohor kami mengambil posisi masing. Aku memilih tingkap di sebelah kanan manakala Fudhail membidik di tingkap kiri. Kami mengagih-agihkan peluru. Aku cuba mengintai, mencari kelibat ashab-ashabku yang lain namun nyata mereka cekap bersembunyi di posisi masing-masing.
Sekonyong-konyong aku nampak tentera laknat itu bergerak perlahan menuju ke kota Nablus. Perlahan dan tenang.
“Tiga buah kereta kebal…!” bisikku cemas.
Namun ketenangan Fudhail membuatkan semangatku kian murup menyala. Aku nampak kesucian atmanya. Lantas aku mengucap syahadah dan takbir,perlahan dan lembut. Sebaik sahaja mereka hampir dengan kami, tiba-tiba salah sebuah kereta perisai yang mengepalai gerombolan itu meledak.
Makhzumi dan Aeman telah bertindak! Tiba-tiba berlaku lagi satu ledakan di bahagian belakang gerombolan tentera itu. Fathir juga telah bertindak. Lantas aku terus menekan picu, membidik satu persatu kepala tentera yang keparat itu.
GELAP.
Alam merusuh dan gamat. Dalam dentum-lengking raifal dan peledak, aku dengar suara tasbih dari langit. Aku terus membidik. Peluru di sana-sini meluncur. Dan langit masih bertasbih.
GELAP.
Sebuah kereta kebal…dikit-dikit disodorkan muncungnya ke arahku.
Sreeeetttt…!
GELAP.
Aku nampak jasad Hamzah Asadullah disiat-siat…!
“Ahlan Wasahlan ya Izrail.”
GELAP.
Dalam sepicing hancur-mumur dinding usang di tingkap sebelah kiriku-tempat Fudhail membidik raifal automatiknya. Aku terpelanting. Langsung tak kutangkap letus-ledak durjana itu.
Sreeeetttt…!
GELAP.
Alam kejap dan pendap. Sunyi. Sunyi amat. Sayup-sayup ada gemerincing pedang. Ada derap kuda bertingkah. Itukah…Itukah soldadumu Salahuddin Al Ayubi…datang memerdekakan butala yang terjajap dek tubuh-tubuh terlaknat itu. Datanglah…!
Diam.
Aku terbujur satu meter dari post aku yang asal. Dinding pada tingkap di pojok kiri bilik itu hanya tinggal lompang yang besar-kepul asap merambak ke sarwa penjuru. Jasad Fudhail hilang entah ke mana. Bebola mataku lantas meliar ke sana-sini lalu bermukim tepat di tepi pintu,kira-kira 2 meter dari lubang besar itu.
“Fudhail…” suaraku terbentur lemah.
Aku cuba menghampiri jasad kaku dan merah itu. Sejurus terasa kilat menyambar jasad. Bisanya menjajap segenap sulur-sulur saraf badaniku.
Arrrggghhh…!!!
Bahagian kiri tubuhku hitam lecur. Kulit lenganku yang hangus tersiat luas,meleleh cairan merah membasahi lenganku. Pipiku terasa hangat dan berdenyut-denyut dengan cecair jernih dan hanyir merembes memenuhi mukaku. Jari telunjukku lentur ke belakang tangan-longlai-barangkali patah kerana tersangkut pada picu raifalku tadi. Pada ketingku yang sebelum ini lurus dan tegap kelihatan bengkok. Dan dari ketingku itu tersembul tulang yang patah kemerah-merahan. Di lututku juga. Pedih. Pedih amat.
Arrrggghhh…!!!
“JANGAN…!”
Arrrggghhh…!!!
Aku menalak perit segenap kudrat manusiawiku lantaran pedih yang mencengkam. Aku…kejap…tercengkam.
Arrrggghhh…!!!
“Jangan…! Jangan kau meraung begitu kelak si Penakluk Langit bantunkan namamu dari jumhur syuhada. Kelak isimmu dipadam dari pintu Al-Muqqamul Amin”
Arrrggghhh…!!!
Diam!
Maafkan aku. Aku tidak segagah Zakaria a.s yang bisa mengetap bibir menahan gerigis-gerigis gergaji Yahudi terkutuk menjarah tubuh mukaddasnya takah demi takah di celah pohon. Aku tidak!
Diam!
Aku terdiam menahan derita terketar-ketar. Pedih mencengkam kejap, namun aku kukerahkan segenap swadaya yang bersisa menahan dan menangkisnya. Tekakku dahaga bak wadi kekontangan. Ah…aku bermusafir di tengah pasir, mengejar logamaya yang pernah menghantui fikir Siti Hajar itu! Tuhan…tuhan…tuhan…!
“Rif’at Basyar…”
Sayup-sayup suara ummi memanggil merunjang nyali telingaku yang lecur-pedih. Sayup. Sayup. Sayup amat. Suara itu mengerah batil fikirku dikit-dikit mencedok potret ummi yang di lumuri darah, ditembusi peluru durjana tentera Yahudi.
“Rif’at Basyar…”
“Ummi…?” suaraku mengalir lesu. Lantas renai-renai hujan mulai menitis dari kolam mataku.
“Ummi…” Ummi tersenyum.
GELAP.
“Zami…Zami…Zami…!”
Arrrggghhh…! Dia datang lagi. Tatkala aku lumpuh parah dan terketar-ketar diserang azab ini dia bisa tampil. Aku tak perlukan tetamu!
Aku kini di tengah gurun pasir. Kosong. Nihil. Sedangkan seekor helangpun tidak rela menyongsong angin di kedaerahan kontang ini. Tetapi lelaki berjubah putih itu berdiri tegap memeluk tubuh, sambil nakal angin bermain-main dengan ekor serbannya yang berjuntai. Dia tersenyum. Ah…! Ini sama seperti mimpi-mimpi buntuku yang lepas-lepas. Repitisi.
Tapi kali ini agak berbeza. Ribut tidak lagi datang menghambat dia pergi dari igauanku. Tidak lagi. Sebaliknya dihulurkan kirbah air yang harum baunya. Jernih. Haruman narwastu layaknya. Aku yang sedang terketar-ketar menahan azab menghirup perlahan dan lemah. Ah…! Air zam-zam kah itu? Penuh sangsi…siapakah dia? Kuhirup lagi, dahagaku bak gurun yang merindui hujan. Dan pabila kuberpaling, lelaki tua itu telah ghaib.
“Zami…Zami…Zami…!”suaranya kian perlahan lalu sepi.
GELAP.
Tiba-tiba ada takbir bergema di jumantara Ilahi. Dalam nazak aku amatinya. Sayup-sayup. Dan makin lama kian nyaring.
GELAP.
“Itukah barisan soldadumu Salahuddin al Ayubi, datang untuk menawan semula Ardhul Muqaddas ini?” Aku menalak girang. Suara itu kian bingit.
Tiba-tiba kemawan hitam bergerak menggerubungi daerah Nablus ini . Azab sakitku kian pedih. Namun takbir itu tetap bergema-dan kini bak ngauman guntur dan lintar.
“Itukah laung takbirmu Amru bin Ash yang memimpin bala tentera Allah ke medan Ajnadin? Itukah…Itukah semboyan para pahlawan Isa al-Masih yang akan turun menyergap Dajjal? Itukah? Itukah…?”
Sreeettt…!
“Ummi! Zhariff! Fudhail! Fathir! Makhzumi! Aeman! Dhia’uddin! Nasrullah! Aku nampak kamu berterbangan di sana! Nampak…!”
Sreeettt…!
GELAP.
Rabbi…aku ingin…aku ingin menyertai tentera samawimu di sana, bersama sekalian jundullah. Aku ingin bermusafir. Berikan aku pedang. Berikan aku busur! Salahuddin…aku akan membantumu!
Sreeettt…!
GELAP.
Ahlan Wasahlan Ya Izrail. Aku tersenyum, berangkat bermusafir jauh. Dan renai-renai harumpun turun dari limpahan telaga al-kautsar. Hujan telah mengguyur di Al Quds-harum dan menguntum cinta-Nya.
~||dalam diri itu ada atma.dalam atma itulah jiwamu yg luhur.justeru perkuatkanlah akan ia dengan ilmu dan perkemaskanlah ia dengan iman||~
0 Comments:
Post a Comment
<< Home